Wee gesa pekebun kecil Johor daftar keahlian KPSM

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menggesa pekebun kecil sawit di Johor mendaftar keahlian Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk mendapat faedah yang disediakan melalui aktiviti koperasi.

“Ini adalah kerana penyertaan pekebun kecil di Johor sebagai ahli KPSM masih rendah, kurang dari satu peratus,” katanya ketika menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kelmarin.

Di Johor, sebanyak lima KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Jumlah keahlian bagi lima KPSM ini hanya 318 orang pekebun kecil.

Sehingga Mac 2022, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara yang mana 24 daripadanya di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak.

Menurut Wee, kementeriannya melalui MPOB turut menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecik Sawit (IPPKS).

“Kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40),” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan menyedia insentif sebanyak RM230 juta yang dikawal selia oleh MPOB bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO.

Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.

-NIAGATIMES

Wee-Jeck-Seng.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.