Worldwide Holdings perkukuh komitmen pembangunan sosial Selangor

Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) meneruskan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat Selangor menerusi sumbangan RM300,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program sosial dan komuniti.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, pada Majlis Hi-Tea bersama D.Y.T.M. Raja Muda Selangor di Kelab Shah Alam.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama YRMS.

Menurut Worldwide Holdings, sumbangan itu mencerminkan kesinambungan hubungan strategik antara syarikat berkenaan dan YRMS dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta memperluas manfaat pembangunan kepada komuniti di seluruh Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata, kerjasama tersebut berteraskan keyakinan bahawa kemajuan negeri bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, sebaliknya turut bergantung kepada kemampuan masyarakat untuk berkembang bersama.

Beliau berkata pembangunan potensi individu, pengukuhan komuniti dan pembukaan peluang baharu perlu menjadi sebahagian daripada usaha membentuk masa depan Selangor yang inklusif serta mampan.

“Kerjasama jangka panjang dengan YRMS membolehkan kami menyokong pelbagai program yang mempunyai impak kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pembangunan belia, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Sepanjang kerjasama itu, Worldwide Holdings dan YRMS telah melaksanakan serta menyokong pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan generasi muda dan peningkatan keupayaan masyarakat.

Sumbangan terbaharu itu akan dimanfaatkan bagi menyokong program pembangunan sosial dan komuniti YRMS yang sedang berjalan.

Melalui platform tanggungjawab sosial korporat Worldwide Prihatin, Worldwide Holdings berkata pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama strategik yang dapat melengkapi agenda pembangunan Selangor serta memperkukuh daya tahan masyarakat.

-NIAGATIMES

DSC_5535_1.JPG.jpeg