WoW terus mantapkan program lahir usahawan wanita

Pertubuhan bukan kerajaan, Women of Will (WoW), komited untuk terus mempelbagaikan program khusus untuk golongan hawa dengan memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan yang bertujuan untuk meningkatkan mobiliti sosioekonomi wanita dalam kumpulan B40 menerusi pelbagai aktiviti perniagaan.

WoW telah diberikan status Organisasi Berkaitan Sosial (SPO) bagi ‘Social Impact Exchange’ (SIX), platform pasaran dagangan ‘pay-for-impact’ pertama di Malaysia yang bertujuan untuk menyalurkan sumber korporat yang belum diterokai ke dalam projek impak sosial yang tinggi.

Presiden WoW, Datin Goh Suet Lan berkata teras utama program itu adalah untuk mengambil dan membantu wanita yang komited untuk mengubah diri, status sosioekonomi mereka, keluarga mereka dan dalam proses menyumbang kepada masyarakat.

Langkah berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu mereka yang dalam kategori pendapatan rendah B40, katanya. Ia mengajar kemahiran dalam pelbagai bidang seperti literasi kewangan, pemasaran, e-komunikasi, e-literasi, pemasaran langsung, memasak dan kemahiran asas seperti jahitan.

“Kami menumpukan usaha terhadap latihan kemahiran dan membina perniagaan, sehingga pada akhir nanti, mereka kukuh dari segi kewangan dan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama.

-BERNAMA

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.