YATT SEDIA JULANG NY BEAUTY EMPIRE KE TAHAP BERBEZA

Setiap usahawan punya cerita yang tersendiri sewaktu meniti perjalanan bisnes masing-masing. Tidak semua mereka yang terlibat mempunyai kisah hebat yang indah untuk dikongsikan. Begitu juga dengan pemilik NY Beauty Empire, Nor Afpizah Hayati yang lebih mesra disapa sebagai Yatt. Dia memulakan segala-galanya dari bawah. Tiada ilmu, tiada modal yang kuat dan tiada sebarang pinjaman kewangan.

“Bayangkanlah. Ketika itu saya hanya bermula dengan modal sendiri sebanyak RM150 sahaja. Itulah permulaan bisnes yang tidak saya duga mampu berkembang baik hingga ke hari ini. Saya sematkan kecekalan, hati yang kental, tidak mudah putus asa dan nekad teruskan semuanya sampai jadi.

“Untuk berjaya, kita kena sentiasa jangan pernah lupa pada Allah kerana Dialah pencipta seluruh alam termasuklah rezeki yang kita peroleh. Itulah prinsip yang saya pegang dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Anak kelahiran Simpang Renggam, Johor ini turut berkongsi detik manis meskipun dalam tempoh getir sewaktu pandemik Covid-19 membadai negara hinggakan ramai rakan-rakan seperjuangan dalam perniagaan terpaksa gulung tikar.

“Perancangan perniagaan yang betul sangat memainkan peranan yang penting. Syukur alhamdulillah kerana sewaktu pandemik dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, bisnes saya masih mampu menjana jualan RM1 juta setahun. Malah, tak disangka-sangka dalam tempoh sukar itu juga salah satu impian saya untuk beli tanah dan bina rumah untuk kedua ibu bapa saya tercapai,” kongsinya.

Menelusuri kembali episod awal bisnesnya, Yatt berjinak-jinak dengan perniagaan secara dalam talian selama dua tahun pada 2014 sewaktu berusia 26 tahun. Tidak menoleh ke belakang, dia seterusnya membuka butik NY Beauty dan mula mengeluarkan produk atas jenama sendiri.

Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Yatt kemudiannya melebarkan lagi sayap NY Beauty dengan membuka dua butik tambahan di sekitar negeri Johor dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja.

“Memang menggembirakan dan saya anggap ia sebagai satu kejayaan. Tetapi, tak semuanya indah juga. Mungkin disebabkan faktor kurangnya pengalaman dan jarak masa yang terlalu singkat, akhirnya saya terduduk kerana tinggal satu sahaja butik yang bertahan iaitu di Parit Raja.

“Namun saya enggan putus asa. Setahun sesudah itu, alhamdulillah saya kembali bangkit dan berjaya buka semula butik di Simpang Rengam. Kini, kami sedang dalam proses membuka cawangan butik NY Beauty ketiga yang bakal beroperasi tidak lama lagi pada tahun ini,” jelasnya.

Bahkan, nama NY Beauty yang kini dijenamakan semula sebagai NY Beauty Empire juga adalah salah satu bukti betapa Yatt dahagakan lebih banyak kejayaan untuk bisnes yang diusahakannya.

Kenapa tidak? Produk kosmestik dan penjagaan kulit ini bukanlah picisan. Sejak dikenali pada 2016 lagi NY Beauty telah menjadi bualan mulut dan digunakan sendiri oleh jurusolek terkenal tempatan seperti Jamal Mohd. Malah, NY Beauty turut giat menaja beberapa drama dan telefilem tempatan.

“Salah satu produk kami yang laris dan digunakan secara meluas ialah ‘foundation’ (bedak asas). Antara sebab mengapa produk ini sering menjadi pilihan adalah kerana ciri-cirinya yang sangat menyeluruh dan ringan jika diaplikasikan pada wajah.

“Sesiapa yang pakai, seolah-olah terasa macam tak pakai apa-apa pun. Malah, NY Beauty Glow Foundation juga bersifat kalis air. Jadi, ia sangat sesuai dipakai bagi golongan yang kuat berpeluh.

“Selain itu, produk seperti Serum Diamond yang berupaya menghilangkan parut seperti jerawat dan jeragat serta My Lips, gincu dengan 12 pilihan warna juga antara yang laris di pasaran,” kata Yatt.

Produk-produk keluaran NY Beauty difahamkan bukan sahaja digunakan secara meluas hingga ke Dubai, Bali, Pakistan dan Korea, malah turut menjadi pilihan selebriti ternama seperti Rozita Che Wan, Amelina, Luthya Suri dan Mona Allen.

Ketahui lebih lanjut tentang NY Beauty Empire di laman Facebook mereka.

-NIAGATIMES

Yatt3 Yatt1 Yatt2

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.