Yayasan Bank Rakyat komited laksana CSR pendidikan, pembangunan modal insan

Yayasan Bank Rakyat (YBR) terus mengorak langkah dalam melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan membantu ahli-ahli Bank Rakyat dan keluarga masing-masing serta rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan.

Pelbagai inisiatif CSR giat dilaksanakan YBR pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM19.92 juta termasuklah yang terkini antaranya seperti Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU), Program Pembangunan Pelajar 2022, bantuan banjir dan bantuan persekolahan.

Pada tahun 2022, seramai 30,251 orang penerima telah meraih manfaat daripada program holistik dan berimpak tinggi yang dijalankan oleh YBR termasuklah 6,391 pelajar (sehingga Mei 2022) yang meneruskan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM176 juta.

Konsistensi dan kecemerlangan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan YBR tersebut lantas mendapat perhatian CSR Malaysia yang mengiktiraf entiti di bawah Bank Rakyat itu sebagai Yayasan Terbaik Tahunan: Inisiatif Sokongan Kewangan & CSR Cemerlang (Pendidikan) dalam majlis Anugerah Kemapanan & CSR Malaysia 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, YBR yang diwakili Pengurus Komunikasi Korporatnya, Mohd Ghazali Zainal Abidin turut menyampaikan sumbangan berupa cek replika yang bernilai RM19.92 juta kepada Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia sebagai simbolik mewakili badan-badan kebajikan yang akan diagihkan YBR kelak.

-NIAGATIMES

YBR cek Yayasan Bank Rakyat - Menara Bank Rakyat

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.