Yayasan Hasanah (Hasanah) yang bernaung di bawah Khazanah Nasional Berhad mahu terus memperkasakan usahawan wanita di dalam industri perniagaan kecil dengan menyalurkan bantuan berbentuk pembiayaan.

Pengarah Urusan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, fokus terhadap kumpulan usahawan wanita yang ingin dilaksanakan tersebut adalah merupakan sebahagian daripada strategi pemerkasaan komuniti dengan sasaran peningkatan taraf hidup bagi golongan 40 peratus pendapatan rendah negara (B40).

“Hasanah menyalurkan dana kepada program Women of Will (WOW) bagi memberi pinjaman kredit mikro kepada golongan usahawan kecil wanita terpilih.

“Kami telah membantu sebanyak 200 usahawan kecil wanita dalam pemberian pinjaman kredit mikro pada 2018 dan ia akan diteruskan lagi tahun ini dengan jumlah sasaran yang sama.

“Ia sebahagian daripada agenda besar Hasanah bagi pembangunan komuniti dan meningkatkan taraf hidup,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran The Hasanah Report 2018 di Mercu UEM, semalam.

Shahira-Ahmed-Bazari-Kredit-foto-Yayasan-Hasanah.jpg