YPU Terengganu komited didik usahawan baharu, tingkat jualan

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu berjaya melahirkan 107 usahawan baharu dengan hasil jualan sebanyak RM8.8 juta dalam tempoh setahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Anuar Awang berkata kejayaan itu dicapai menerusi tiga program iaitu Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT), Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) dan Usahawan Graduan Terengganu (U-GATES).

“Daripada RM8.8 juta itu, hasil jualan tertinggi direkodkan oleh PUGT melibatkan 38 usahawan dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM7.3 juta diikuti U-BES dengan penyertaan 39 usahawan (RM1.4 juta) serta U-GATES melibatkan 30 usahawan dengan jualan sebanyak RM198,835.

“Kesemua program ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pengangguran di Terengganu apabila memberi peluang pekerjaan kepada 213 orang penduduk melalui perniagaan yang diusahakan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Program PUGT dan U-GATES melibatkan penyertaan graduan universiti manakala peserta U-BES adalah belia berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Selain tiga program itu, kerajaan negeri melalui YPU turut memperkenalkan beberapa skim usahawan untuk mencapai matlamat peningkatan ekonomi termasuk Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Tabung Siti Khadijah (TSK) dan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS). – BERNAMA

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.