Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan berjaya merekodkan potensi jualan sebanyak RM20 juta, menjadikan nilai keseluruhan potensi jualan berjumlah RM71.61 juta dicatatkan setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan melalui visi dan kerangka MADANI akan kekal komited memperkasakan pembangunan PMKS.
โPenganjuran MUN dan Minggu PMKS seperti ini mampu menjadi platform yang sesuai bagi membawa produk atau perkhidmatan usahawan tempatan termasuklah dari luar bandar untuk terlibat dengan aktiviti padanan perniagaan bagi memperluas jaringan perniagaan pasaran baharu,โ katanya sewaktu menyampaikan ucaptama perasmian program berkenaan, semalam.
Zahid yang telah menyempurnakan perasmian program ini juga turut menyampaikan surat pelantikan Syarikat Prinsipal IB di bawah Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) dan Sijil Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) kepada PMKS bertaraf 5 Bintang di bawah SME Corp.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Penganjuran MUN dan Minggu PMKS ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
โMinggu PMKS pula secara langsung mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.
โPenekanan kepada kepentingan PMKS ini adalah bertepatan dengan nilai teras Kemampanan dan Kesejahteraan dalam konteks pertumbuhan ekonomi di bawah kerangka Malaysia MADANI,โ jelasnya.
MUN dan Minggu PMKS 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka yang telah berlangsung sejak 7 Julai merupakan lokasi yang kelima selepas penganjurannya di Pulau Pinang (Zon Utara), Sarawak, Melaka (Zon Selatan) dan Pahang (Zon Pantai Timur) sepanjang bulan lalu.
Sabah yang merupakan lokasi terakhir dan bakal menutup MUN dan Minggu PMKS pada tahun ini akan diadakan dari 15 hingga 16 Julai di Kota Kinabalu.
-NIAGATIMES