Franchise International Malaysia (FIM) 2024

Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) bakal kembali dengan tawaran yang lebih menarik kepada pempamer serta pengunjung. Dengan ruangan pameran luas yang boleh memuatkan hampir 250 reruai, FIM semestinya menjanjikan peluang yang lebih besar kepada usahawan.

Program pameran dan persidangan tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan berlangsung bermula dengan persidangan pada 29 Mei dan diikuti dengan pameran pada 30 Mei hingga 1 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penganjuran FIM kali ke-31 ini disokong sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta mendapat pengiktirafan daripada badan francais antarabangsa iaitu World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC).

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata sehingga kini sebanyak lebih 70% reruai telah diisi oleh syarikat-syarikat francais dan organisasi yang turut menyumbang kepada ekosistem francais. Selain jenama tempatan, FIM turut menarik minat pempamer daripada Jepun, Singapura, Korea Selatan, China, Taiwan dan India.

“Pelbagai jenama francais tempatan dan antarabangsa akan menyertai FIM, memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu dan berbincang dengan penggiat industri. Bagi sesetengah penggiat industri francais, FIM adalah titik permulaan untuk kembangkan perniagaan francais mereka dengan lebih meluas,” beliau berkata ketika berucap di Majlis Pra – Pelancaran FIM2024, di sini.

FIM2024 dijangka akan menarik lebih 30,000 orang pengunjung dan menyasarkan nilai jualan berjumlah RM600 juta sepanjang tiga hari pameran berlangsung.

Lebih menarik, bersama-sama penganjurannya, turut diadakan Mesyuarat Tahunan APFC & WFC yang akan mengumpulkan wakil persatuan francais daripada lebih 40 buah negara. Malaysia sekali lagi menjadi hos untuk mesyuarat ini setelah kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 2013.

Bersempena itu juga turut diadakan majlis penuh berprestij iaitu Malam Anugerah Francais 2024 (MAF2024) yang akan menjadi malam bersejarah buat penggiat industri francais Malaysia, di mana ada diantara mereka akan diiktiraf sebagai Francais Terbaik 2024.

-NIAGATIMES

FIM2024.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.