Foodpanda Malaysia dan Ryt Bank memperkenalkan kerjasama yang bertujuan memudahkan urusan pesanan makanan serta pengurusan bayaran secara berkumpulan menerusi integrasi ciri foodpanda Group Order dan Ryt Groups.
Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) pada 7 September lepas, sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai inisiatif digital meliputi pembayaran, ganjaran pelanggan, penglibatan peniaga dan program literasi kewangan untuk rakan penghantar.
Menurut Foodpanda Malaysia, tinjauan terhadap 1,750 responden mendapati pemilihan makanan menjadi cabaran utama ketika membuat pesanan berkumpulan dengan 38 peratus responden mengakuinya sebagai masalah utama.
Ia diikuti kesukaran mendapatkan bayaran daripada anggota kumpulan (29 peratus), perubahan pesanan (17 peratus) serta menunggu maklum balas semua anggota (16 peratus).
Sehubungan itu, Group Order membolehkan setiap ahli kumpulan memilih dan menambah hidangan sendiri ke dalam satu pesanan yang sama, manakala Ryt Groups membantu mengurus perbelanjaan yang dikongsi serta penyelesaiannya.
Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Kenneth Soh berkata kerjasama berkenaan mencerminkan usaha syarikat melihat keseluruhan pengalaman pengguna, bukan hanya proses membuat pesanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata kerjasama itu membolehkan keupayaan perbankan digital digabungkan dengan aktiviti harian pengguna bagi mewujudkan pengalaman yang lebih mudah dan bernilai.
Sebagai inisiatif pertama, pelanggan Ryt Bank yang layak dan melengkapkan transaksi menggunakan Ryt Groups dari sekarang hingga 21 Oktober boleh menebus baucar Foodpanda bernilai sehingga RM15 melalui aplikasi Ryt Bank.
Kedua-dua pihak turut merancang meneroka lebih banyak peluang dalam pembayaran, ganjaran, penglibatan peniaga dan literasi kewangan pada masa akan datang.
-NIAGATIMES




















































