Forum Made For The World 2024 inspirasikan kejayaan tokoh seni dan ikon sukan kepada pemain industri

Penganjuran Forum Made For The World 2024 yang dicetuskan media NiagaTimes bagi edisi tahunan ke-5 kali ini bukan sahaja tertumpu kepada kisah kejayaan dan inspirasi industri perniagaan semata-mata, malah turut menarik minat industri seni dan sukan negara.

Ketiga-tiga sesi forum yang dijalankan secara berturut-turut pada majlis yang sama di Kuala Lumpur pada hari ini telah menampilkan sudut perspektif yang berbeza berkenaan resipi kebangkitan yang mampu dicetuskan pemain-pemain industri tempatan dalam memperluaskan rangkaian masing-masing ke peringkat antarabangsa dengan dibarisi 12 ahli panel.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), iaitu SME Corp Malaysia membuka pusingan pertama forum dengan berkongsi panduan dan inisiatif yang boleh dimanfaatkan tetamu dalam mendapatkan akses terbaik menembusi pasaran antarabangsa yang diwakili Pengurus Kanan Bahagian Akses Pasaran dan Pengantarabangsaan, Tuan Haji Tajul Ariffin Jamaluddin.

Sebuah lagi agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pula telah menggariskan keperluan bagi penggiat industri dalam memanfaatkan digitalisasi untuk melebarkan pengaruh ke peringkat global yang dikongsikan Timbalan Pengarah Seksyen Akademi Eksport dan Pembangunan Pasaran, Nurdiana Abdullah.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (PENIAGAWATI), Datoโ€™ Emmy Suraya Hussein juga bertindak selaku ahli panel yang berkongsi pandangan mengenai pemerkasaan wanita, keluarga dan kerjaya.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (PENIAGAWATI), Datoโ€™ Emmy Suraya Hussein

Bagi industri hiburan, ikon ternama iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Datoโ€™ Jamal Abdillah dan Dr. Soo Wincci telah berkongsi pengalaman masing-masing yang boleh dimanfaatkan tetamu untuk terus kekal bertahan lama dan relevan di dalam industri.

Sementara itu, barisan ahli panel yang terdiri daripada personaliti dan ikon sukan negara iaitu Kevin Zahri (jurulatih dan pempengaruh kecergasan), Cheah Liek Hou (Juara Badminton Para Dunia), Zaidatul Husniah Zulkifli (Ratu Pecut Negara), Azlan Shah Kamaruzaman (Juara Superbike Asia) dan Mohd Redha Rozlan (Jaguh Sukan Ekstrem Negara) turut menyumbang buah fikiran mengenai peluang dan langkah yang perlu diambil untuk menempa nama di persada dunia.

Forum Made For The World 2024 telah dihadiri oleh tetamu diraja; Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan Iskandar (adinda kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Datoโ€™ R. Rajendran dan Pengerusi CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

Pada majlis yang sama, turut disampaikan ialah Anugerah Made For The World 2024 kepada 30 penerima anugerah yang telah mencatatkan kecemerlangan dalam pelbagai industri.

-NIAGATIMES