Pelanggan prabayar CelcomDigi kini boleh menikmati siaran sukan secara langsung dan pelbagai kandungan hiburan premium pada harga serendah RM1 menerusi pengenalan pakej penstriman StreamMORE yang mula ditawarkan hari ini.
CelcomDigi Berhad dalam kenyataan memaklumkan tawaran baharu itu diperkenalkan bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk mengakses kandungan pilihan tanpa perlu terikat dengan komitmen langganan bulanan.
Menerusi StreamMORE, pelanggan boleh mengikuti pelbagai acara sukan popular termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara UEFA, selain rancangan hiburan tempatan, drama Asia serta siri anime terkini.
Tiga pilihan pakej diperkenalkan, bermula dengan StreamMORE Sooka Daily pada harga RM1 yang menyediakan akses selama 24 jam kepada siaran sukan langsung, termasuk perlawanan EPL dan kejohanan antarabangsa utama.
Pakej itu turut merangkumi kandungan hiburan Sooka sepenuhnya serta 500MB data berkelajuan tinggi.
Bagi peminat drama dan hiburan Asia, StreamMORE Asian Weekly Bundle ditawarkan pada harga RM3 untuk tempoh tujuh hari, dengan akses tanpa had kepada kandungan Viu Premium dan iQIYI Standard VIP serta 1GB data berkelajuan tinggi.
Sementara itu, StreamMORE VISION+ Premium berharga RM5 sebulan menyediakan akses kepada pelbagai drama popular Indonesia, siri eksklusif dan rancangan hiburan, berserta 5GB data.
Selain pilihan prabayar berharga rendah itu, CelcomDigi turut menawarkan StreamMORE Sooka Sports & Entertainment pada harga RM15 sebulan kepada pelanggan prabayar dan pascabayar.
Pakej berkenaan menyediakan akses selama 30 hari kepada kandungan sukan langsung dan hiburan dalam definisi tinggi (HD), selain membolehkan penstriman dilakukan pada dua peranti secara serentak.
Pelanggan yang berminat boleh mengaktifkan mana-mana pakej berkenaan menerusi aplikasi CelcomDigi dengan memilih bahagian Lifestyle, sebelum menentukan pakej StreamMORE pilihan dan mengaktifkannya.
Pengenalan tawaran itu mencerminkan perkembangan perkhidmatan telekomunikasi yang semakin mengutamakan pengalaman digital mengikut keperluan pengguna, khususnya dalam kalangan pelanggan yang mahukan akses hiburan pada harga lebih fleksibel.
-NIAGATIMES



















































