Siti Nurhaliza, Rossa julang anugerah terbaik ‘Top Asia’

Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi legenda Indonesia, Dato’ Sri Rossa mendahului senarai pemenang anugerah ‘Top Asia Corporate Ball 2025’ anjuran Research House of Asia dan RHA Media yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Siti Nurhaliza diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Asia Legendary Lifetime Achievement’, manakala Rossa dinobatkan sebagai ‘Asia Legendary Music Icon’, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua ikon Nusantara itu dalam mengangkat mutu industri muzik serantau selama berdekad lamanya.

Menurut Editor Pengurusan RHA Media, Lee Seng Chee, penganugerahan tersebut merupakan penghormatan tertinggi kepada dua tokoh seni tersebut yang bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan karya, malah turut memartabatkan Malaysia dan Indonesia di persada antarabangsa.

Siti Nurhaliza kekal sebagai salah satu artis rakaman Malaysia paling berjaya dan berpengaruh dengan jualan melebihi enam juta album serta lebih 300 anugerah sepanjang kerjaya.

“Diangkat sebagai ‘The Voice of Asia’, Siti bukan sahaja mempersembahkan karya dalam pelbagai bahasa, malah pernah menerima penghormatan daripada Spotify, MTV Asia dan Channel V atas impak luar biasanya dalam industri muzik.

“Beliau juga memegang rekod konsert dengan jumlah kehadiran tertinggi di Kuala Lumpur, satu pencapaian yang kekal bertahan lebih 15 tahun,” ujarnya

Seng Chee menambah, Rossa yang mesra digelar ‘Queen of Pop Indonesia’ pula terus menyerlah dengan pencapaian seni lebih dua dekad serta berada dalam kelompok artis paling laris di Indonesia.

“Dengan lebih tiga juta pendengar bulanan di Spotify, keupayaan vokal, penyampaian penuh emosi serta evolusi kreatif beliau menjadikannya inspirasi kepada bakat baharu dan ikon budaya yang merentas generasi,” katanya.

Turut memeriahkan senarai penerima pada majlis berprestij itu ialah beberapa tokoh seni dan budaya dari rantau ini, termasuk Datuk Syafinaz Selamat yang diberi pengiktirafan sebagai ‘ASEAN Generational Music Icon’ atas dedikasi dan ketokohan beliau dalam lapangan vokal klasik dan pendidikan muzik. Pengacara terkenal, Datuk Aznil Hj Nawawi, turut menerima anugerah ‘Asia’s Most Versatile Personality’ sebagai mengiktiraf sumbangan dan pengaruhnya dalam dunia penyiaran dan hiburan.

Penyanyi Suki Low pula dinobatkan sebagai ‘Songbird of Asia’ hasil pencapaian vokal dan persembahan konsisten yang mengangkat nama Malaysia di peringkat serantau. Sementara itu, bintang hip hop kelahiran Singapura, Yung Raja, diiktiraf sebagai ‘Southeast Asia’s Best Rapper’ atas gaya persembahan unik yang memberi warna baharu kepada genre rap Asia Tenggara.

Dua seniman kontemporari, Hiroshi Wada dari Jepun dan Taipan Lucero dari Filipina, turut menerima penganugerahan ‘Asia’s Most Outstanding Contemporary Calligraphy Artist’ sebagai menghargai kepakaran mereka dalam seni kaligrafi moden yang semakin mendapat tempat dalam arena seni antarabangsa.

Lain-lain penerima anugerah ialah Fariz Jabba, Wani Kayrie, Shye, Kavin Jay, Suganya, Maira Yeo, Angela Lai, Malik bin Mazlan, Dato’ Alan Foo, BeautsGO, BioV Global Berhad, 9-jour, Copper Mansion, A’Han Thai Seafood Restaurant, Perfect Doc, ASIC Offshore & Marine Sdn Bhd, Dr ISO Malaysia, Dr Renov, Prof Ir Ts Dr Chuah Joon Huang, Ts Dr Nageswaran Yoagalingam, MM Oil (M) Sdn Bhd, Olympus Management & Services (M) Sdn Bhd, Origin Integrated Studios Sdn Bhd, Cambridge English For Life Sdn Bhd, Inder Aesthetics Sdn Bhd dan Belia Mahir.

Turut diraikan ialah Utama Motor World Sdn Bhd, NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, SLM Group Sdn Bhd, Syarikat Wijaya (Masai) Sdn Bhd, Mals Venture Enterprise dan Kedai Kopi Tan Kow Po yang merupakan pemenang ‘Made For The World Excellence Awards 2025’.

Top Asia Corporate Ball 2025 menghimpunkan kira-kira 500 ketua pegawai eksekutif, pemilik perniagaan dan personaliti ternama Asia, termasuk tokoh industri, selebriti serta legenda dari Malaysia.

Majlis turut diserikan oleh keberangkatan tetamu diraja, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz binti Al-Marhum Sultan Iskandar.