Kerajaan bersedia meneliti pendekatan baharu bagi memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya syarikat yang berada pada fasa mengembangkan operasi perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, cadangan daripada komuniti perniagaan berhubung keperluan sokongan yang lebih tersusun itu akan mendapat perhatian sewajarnya menerusi perbincangan dengan kementerian, agensi kerajaan dan wakil industri.
Menurutnya, bentuk bantuan kepada PKS perlu mengambil kira cabaran yang dihadapi syarikat apabila beralih daripada perniagaan berskala kecil kepada operasi yang lebih besar.
Fadillah berkata peluang mendapatkan kontrak utama atau memasuki pasaran luar negara lazimnya memerlukan syarikat meningkatkan kapasiti operasi, termasuk menambah pekerja, memperkukuh pengurusan, mendapatkan peralatan serta menyediakan modal tambahan.
Justeru, katanya, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan keupayaannya memperoleh peluang baharu semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kemampuan mengekalkan prestasi dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Beliau berkata pengalaman dan maklum balas usahawan perlu dijadikan antara asas penting dalam pembentukan dasar supaya bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan yang benar-benar memberi kesan kepada sektor perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian World Marketing Summit Malaysia 2026, semalam.
Mengulas perkembangan kecerdasan buatan (AI), Fadillah berkata penggunaan teknologi berkenaan perlu memberi nilai tambah kepada operasi syarikat dan bukan sekadar memenuhi tuntutan pendigitalan.
Katanya, PKS boleh memanfaatkan teknologi untuk memudahkan urusan pentadbiran harian, sekali gus membolehkan tenaga kerja memberi tumpuan kepada pelanggan dan aktiviti yang lebih produktif.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan AI tidak bermakna tanggungjawab manusia dalam membuat keputusan boleh diketepikan, terutama berkaitan integriti dan kepentingan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa manfaat kemajuan teknologi perlu dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan perniagaan, termasuk perusahaan kecil, pekerja dan komuniti.
-NIAGATIMES




















































