RHB perkenal pilihan kad kredit patuh syariah tanpa yuran tahunan

RHB Bank Berhad (RHB) kini membuka permohonan bagi kad kredit patuh syariah RHB Sinar Credit Card-i kepada rakyat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan, sebagai pilihan untuk mengurus perbelanjaan harian dengan lebih fleksibel.

Kad kredit berkenaan menawarkan kadar keuntungan tetap sebanyak 14 peratus setahun bagi transaksi runcit, tanpa yuran tahunan untuk pemegang kad utama dan tambahan serta tidak mengenakan caj keuntungan berganda.

Produk itu terbuka kepada individu berusia antara 21 hingga 65 tahun dengan pendapatan tahunan minimum RM24,000. Pemohon yang layak boleh menikmati had kredit sehingga RM20,000 atau dua kali ganda pendapatan bulanan, mengikut mana-mana yang lebih rendah.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Berhad, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam mengurus komitmen kewangan masing-masing.

Beliau berkata, pihak bank memahami keperluan kewangan setiap individu berbeza dan memerlukan pendekatan bersesuaian dengan kemampuan serta keutamaan masing-masing.

Selain kemudahan transaksi harian, pemegang kad turut boleh memanfaatkan beberapa ciri pembayaran termasuk Smart Move Balance Transfer untuk memindahkan baki tertunggak daripada kad kredit atau kad caj yang layak, serta CashXcess bagi mendapatkan kemudahan tunai.

RHB turut menyediakan kemudahan Dial-An-Instalment yang membolehkan pembelian terpilih bernilai sekurang-kurangnya RM500 ditukar kepada bayaran ansuran bulanan dengan mengenakan fi.

Selain itu, Smart Instalment Payment Plan menawarkan pelan ansuran tanpa faedah bagi pembelian runcit terpilih bernilai minimum RM500 di premis peniaga RHB yang mengambil bahagian.

Kemudahan lain termasuk Smart Pay untuk pembayaran bil dan Auto Balance Conversion yang menukar baki tertunggak yang layak kepada bayaran bulanan pada kadar lebih rendah.

Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan RHB di seluruh negara atau melalui pegawai bank berkenaan.

-NIAGATIMES

RHB-Islamic-Credit-Card-GAMBAR-HIASAN.png