Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat usaha meningkatkan kefahaman pekebun kecil persendirian mengenai kepentingan melindungi kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) bagi memastikan pembangunan industri sawit tidak mengorbankan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pendedahan mengenai pengurusan kawasan HCV penting bagi membantu pekebun kecil mengenal pasti serta memelihara kawasan yang mempunyai nilai ekologi, sosial dan kebudayaan.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang menggalakkan pengeluaran minyak sawit secara bertanggungjawab serta mengambil kira aspek perlindungan ekosistem semula jadi.
“Industri sawit negara perlu membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi boleh dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. Komitmen terhadap amalan mampan juga penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan pasaran antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI di Ayer Molek, semalam.
Menurut Noraini, usaha memperluas pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil persendirian menunjukkan perkembangan positif apabila 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) memperoleh pensijilan itu sehingga September 2026.
Pencapaian berkenaan merangkumi lebih 181,000 pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kawasan seluas 706,647.06 hektar.
Di Melaka pula, dua SPOC telah memperoleh pensijilan MSPO, membabitkan 2,520 pekebun kecil dengan keluasan tanaman melebihi 9,600 hektar.
Beliau berkata pencapaian pensijilan perlu disusuli bimbingan berterusan supaya pekebun kecil bukan sahaja memenuhi syarat yang ditetapkan, malah menghayati prinsip kemampanan dalam pengurusan kebun.
Sehubungan itu, MPOB turut memperluas perkhidmatan melalui Program Kaunter Bergerak dan Hari Bertemu Pelanggan bagi memudahkan komuniti pekebun kecil mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat berkaitan industri sawit.
Di Melaka, sebanyak 22 program sedemikian telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada 744 pekebun kecil.
Noraini berkata, Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Amalan Pertanian Baik (GAP), meningkatkan produktiviti dan menggalakkan penggunaan teknologi ladang.
Inisiatif itu menyokong pelaksanaan hala tuju strategik MPOB menerusi PALMS 2030 yang merangkumi lima teras, iaitu produktiviti, automasi, rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan.
Antara pendekatan yang digalakkan termasuk penggunaan mekanisasi seperti mesin Cantas bagi meningkatkan kecekapan penuaian, selain mengoptimumkan hasil tanpa perluasan kawasan tanaman secara tidak wajar.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pekebun kecil sawit persendirian, ahli keluarga dan masyarakat setempat.
-NIAGATIMES




















































