Alibaba.com mempergiat usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), akses pasaran antarabangsa serta kerjasama strategik bagi meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
Usaha itu merangkumi pelancaran platform AI Accio dan penganjuran peringkat akhir pertandingan startup berasaskan produk CoCreate Pitch 2026 Malaysia, yang berlangsung sempena B2B AI Seller Summit anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di Kuala Lumpur.
Edisi sulung pertandingan di Malaysia itu menerima lebih 2,300 penyertaan daripada PKS, syarikat pemula, usahawan dan pelajar inovator, dengan 10 pasukan terpilih ke peringkat akhir.
Lettuboost muncul juara menerusi wakilnya Pavithran Julieus Sudhave, manakala Global Cerah yang diwakili Willie Ng menduduki tempat kedua dan Eartheories, diwakili Fadz Subari, di tempat ketiga.
Ketiga-tiga pemenang akan berpeluang menghadiri CoCreate Global Summit 2026 di London pada November ini. Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan RM500,000 bagi membantu peserta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Ketua Perniagaan Asia Selatan dan Asia Tenggara Alibaba.com Roger Luo berkata pertandingan itu memberi peluang kepada usahawan memanfaatkan AI untuk membangunkan produk, mengenal pasti pembekal serta memperkemas strategi perniagaan sebelum menembusi pasaran global.
Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu PKS menterjemahkan idea kepada produk komersial dan membina perniagaan yang mampan.
Sementara itu, Accio diperkenalkan sebagai platform AI yang membantu mengurus pelbagai proses perniagaan, termasuk penyelidikan pasaran, pembangunan produk, pencarian pembekal dan operasi perdagangan rentas sempadan.
Platform itu direka untuk memudahkan PKS mengoptimumkan aliran kerja eksport tanpa memerlukan kemahiran pengaturcaraan atau kepakaran teknikal mendalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Alibaba.com dan MATRADE memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh perdagangan digital serta kesiapsiagaan eksport syarikat tempatan.
Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan Halal Pavilion khusus di Alibaba.com untuk mempromosikan produk halal Malaysia yang diperakui kepada pembeli antarabangsa.
UOB Malaysia pula menyatakan komitmen untuk menyokong pertumbuhan PKS melalui kepakaran kewangan, penyelesaian pembiayaan dan keupayaan digital, sekali gus membantu perniagaan tempatan meluaskan capaian pelanggan di luar negara.
-NIAGATIMES




















































