ARAS MEGA UKIR TAMADUN MELALUI ILMU DAN ADAB DALAM ERA DIGITAL

Satu lagi kejayaan tercipta dalam majlis gilang-gemilang Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2025 anjuran NiagaTimes apabila Aras Mega (M) Sdn Bhd telah dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahunan 2025 Kategori Penerbitan & Percetakan Buku.

Kemenangan ini bukan sahaja mengukir sejarah buat Aras Mega, malah menjadi bukti kukuh bahawa industri penerbitan buku di Malaysia masih relevan dan terus berkembang pesat, sejajar dengan arus kemajuan teknologi dan inovasi sekali gus menyangkal dakwaan dan ramalan industri tersebut bakal runtuh. Sebaliknya ia membuktikan bahawa industri ini mampu beradaptasi dan terus menyumbang kepada ketamadunan.

Aras Mega mengorak langkah

Ditubuhkan lebih 37 tahun yang lalu dan bertapak kukuh di Kajang, Selangor, Aras Mega (M) Sdn Bhd ialah sebuah nama yang tidak asing lagi dalam arena penerbitan dan percetakan negara. Diasaskan oleh individu berwawasan, Tuan Haji Abd Rahman Abd Karem, Aras Mega telah berkembang menjadi penggiat aktif yang digerakkan oleh pasukan pengurusan yang cekap serta tenaga kerja berpengalaman dan berdedikasi.

Seiring dengan visi untuk menjadi peneraju penerbitan keilmuan dan misi untuk menjadi penerbit yang memacu aspirasi produk berhikmah, Aras Mega sentiasa mengutamakan pengurusan inovatif dalam pelestarian keilmuan. Mereka bukan sahaja mengejar keuntungan, malah mengamalkan budaya kerja berpasukan yang teguh dalam mendepani setiap cabaran penerbitan di samping memastikan setiap karya yang diterbitkan membawa nilai dan hikmah.

Produk & perkhidmatan Aras Mega

Sebagai penerbit, pencetak, dan pembekal buku ke seluruh negara yang berpengalaman luas, Aras Mega terkenal dengan kepakarannya dalam menghasilkan bahan pendidikan berkualiti tinggi. Produk unggul yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikat ini ialah buku pelbagai bidang ilmu termasuklah buku teks, buku umum, buku kanak-kanak dan juga produk digital.

Keunikan dan kelebihan produk Aras Mega terletak pada ketelitian mereka dalam penyediaan bahan pendidikan yang menepati kurikulum dan memenuhi keperluan pembelajaran masa kini.

Malah, Aras Mega merupakan antara syarikat terawal yang berani menyahut cabaran mengintegrasikan teknologi Augmented Reality (AR) dalam buku teks terbitan mereka, membuktikan komitmen terhadap inovasi dalam bahan pembelajaran yang interaktif sesuai dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mentransformasikan sistem pendidikan melalui teknologi digital.

Terbaharu, setelah mengkaji cabaran ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak, Aras Mega mengambil inisiatif dengan melancarkan aplikasi permainan kanak-kanak, StoryTime.

Aplikasi ini dibangunkan dengan kepakaran digital dan rujukan pakar psikologi, StoryTime bukan sahaja mencambahkan cabang perniagaan Aras Mega tetapi juga menawarkan pembelajaran interaktif yang sihat untuk anak-anak tanpa ibu bapa perlu risau risiko ketagihan gajet.

Rahsia kejayaan

Aras Mega sentiasa memastikan modal insan dalam diri pekerja sentiasa terbina agar mereka kekal produktif dalam mencurahkan idea-idea kreatif dengan melabur dalam penganjuran latihan dan pembangunan pekerja secara berterusan bagi memastikan kemahiran kakitangan setanding dengan standard syarikat besar di luar.

Aras Mega turut aktif menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan utama negara, baik sektor kerajaan mahupun swasta bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam pasaran selain menjaga usaha sama dengan ratusan penulis daripada pelbagai kepakaran dan latar belakang pendidikan dalam dan luar negara.

Visi masa depan Aras Mega

Anugerah ini menjadi pemangkin semangat buat Aras Mega untuk terus mengorak langkah ke hadapan dengan visi yang lebih besar. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aras Mega, Tuan Haji Abd Rahman, syarikat ini bercita-cita untuk menjadi pemacu pendigitalan pendidikan negara, di samping merancang untuk memenuhi kehendak pasaran dengan menjanjikan olahan medium ilmu yang lebih interaktif dan bukan hanya pembelajaran menggunakan buku yang kaku dan bosan.

“Kami percaya bahawa ilmu membentuk adab dan tamadun masyarakat. Jadi ia perlu disampaikan melalui medium yang menarik selari perkembangan semasa sehingga mereka mencari buku untuk dibaca tanpa perlu dipaksa,” jelas beliau.

Intai peluang ke pasaran global

Kemenangan Aras Mega merupakan hasil kerja keras, inovasi dan dedikasi. Ia bukan sahaja mengukuhkan jenama Aras Mega di pasaran tempatan, malah membuka ruang untuk mengembangkan sayap ke peringkat global.

Aras Mega berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada usahawan lain untuk sentiasa berani berinovasi dan tidak gentar menghadapi cabaran. Syarikat ini bersedia untuk terus berbakti dengan lebih banyak pembaharuan dalam membentuk generasi berilmu dan beradab, demi membentuk tamadun pendidikan yang lebih gemilang.