Skyro lancar pinjaman tunai digital sehingga RM1,000 di Malaysia

Kumpulan kewangan digital, Skyro, memperkenalkan produk pinjaman tunai pertamanya di Malaysia, menawarkan kemudahan pembiayaan jangka pendek sehingga RM1,000 kepada pengguna yang layak bagi memenuhi keperluan kewangan harian.

Kemudahan menerusi aplikasi mudah alih Skyro itu membolehkan pelanggan memohon pinjaman dengan tempoh pembayaran balik selama empat bulan, tertakluk kepada kelulusan pihak syarikat.

Proses permohonan dilaksanakan sepenuhnya secara digital merangkumi pengesahan identiti, penilaian kredit, kelulusan dan pembayaran wang ke akaun bank pemohon tanpa perlu mengunjungi cawangan fizikal.

Skyro turut merancang meningkatkan had pembiayaan secara berperingkat berdasarkan hubungan dan rekod pelanggan, dengan sasaran jangka panjang menawarkan pinjaman sehingga RM10,000.

Pelancaran itu menyusuli kelulusan kawal selia yang diterima syarikat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada September 2026 bagi menjalankan perkhidmatan pemberi pinjam wang secara dalam talian di Malaysia.

Malaysia merupakan pasaran kedua Skyro di Asia Tenggara selepas Filipina.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Skyro, Arsen Liametov berkata, kemudahan itu bertujuan menyediakan pilihan pembiayaan alternatif kepada rakyat Malaysia yang berdepan keperluan kewangan tidak dijangka, termasuk pembaikan rumah dan pembelian barangan keperluan.

Beliau berkata, syarikat turut menitikberatkan aspek ketelusan supaya pelanggan memahami jumlah pinjaman, kos pembiayaan dan komitmen pembayaran balik sebelum membuat keputusan.

Warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah serta pendapatan tetap boleh mengemukakan permohonan dengan menyertakan dokumen sokongan pendapatan.

Setiap permohonan dinilai berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada dan rekod kredit pemohon, dengan kebanyakan keputusan diberikan dalam tempoh beberapa minit.

Pinjaman itu mengenakan kadar faedah tetap 1.5 peratus sebulan. Pemohon juga perlu menonton video pendidikan kredit sebelum menandatangani perjanjian secara elektronik.

Skyro turut menyasarkan pengenalan kemudahan had kredit tetap menjelang akhir 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pilihan pembiayaan di Malaysia.

Aplikasi Skyro kini boleh dimuat turun menerusi Google Play, manakala ketersediaannya di Apple App Store akan menyusul.

-NIAGATIMES

ml-app.png