Seramai 60 tokoh korporat, syarikat serta usahawan tempatan daripada pelbagai sektor industri diraikan pada Majlis Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2026 (APIUM 2026) yang berlangsung penuh gemilang di Hotel Berjaya Times Square di Kuala Lumpur, malam ini.
Program anjuran portal media perniagaan NiagaTimes yang memasuki edisi ke-10 itu tampil dengan tema ‘Usahawan Berinspirasi, Cetus Revolusi’ bagi menghargai sumbangan pemain industri dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap pembangunan ekonomi negara.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin yang turut menyampaikan pengiktirafan kepada para penerima anugerah.

Dalam ucapannya, beliau berkata PMKS kekal menjadi tulang belakang ekonomi negara menerusi sumbangan besar kepada peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut beliau, walaupun berdepan cabaran ekonomi global, peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan pasaran antarabangsa, usahawan tempatan masih mampu menunjukkan daya tahan menerusi transformasi digital, automasi dan penggunaan platform e-dagang.
“Kerajaan melalui KUSKOP akan terus komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan, latihan serta pembangunan kapasiti usahawan agar PMKS terus mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa agenda pemerkasaan Bumiputera dan koperasi negara terus diperkukuh selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Sementara itu, Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal berkata APIUM 2026 bukan sekadar platform pengiktirafan, malah simbol penghormatan kepada usahawan yang terus bangkit membina kejayaan walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi semasa.

Katanya, lebih 200 pencalonan diterima tahun ini melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan, automotif, teknologi, pendidikan, hospitaliti, kosmetik, hiburan, perubatan dan makanan serta minuman.
“Para penerima anugerah malam ini bukan sahaja berjaya membina empayar perniagaan masing-masing, malah menjadi inspirasi kepada generasi usahawan baharu untuk terus berani mencipta perubahan dan menembusi pasaran global,” katanya.
Antara penerima pengiktirafan tertinggi pada malam itu ialah Utama Motors World yang menerima anugerah berprestij atas kecemerlangannya sebagai antara syarikat automotif tempatan dengan nilai jualan tertinggi serta pertumbuhan perniagaan memberangsangkan di Malaysia.

Turut menerima pengiktirafan khas ialah studio animasi tempatan berpengaruh, Monsta Studios menerusi kategori Malaysia’s Best Animation Production Company Award 2026.
Diasaskan oleh Mohd Nizam Abd Razak, syarikat tersebut terus mencipta fenomena menerusi karya animasi popular seperti BoBoiBoy dan Papa Zola yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Indonesia dan Asia Barat.
Selain syarikat korporat dan usahawan berjaya, beberapa personaliti terkenal tanah air turut menerima pengiktirafan atas pengaruh serta pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.
Antaranya aktres legenda Liza Abdullah yang menerima Anugerah Primadona Seni Lakon Malaysia 2026 atas sumbangan lebih empat dekad dalam industri hiburan tempatan.






Turut diraikan ialah seniman komedi terkenal Abon menerusi Anugerah Seniman Komedi Legenda Malaysia 2026, selain usahawan dan pempengaruh bisnes Dr. Fie Tawfek yang menerima Business Influencer of the Year Award 2026.
Majlis berkenaan turut menjadi platform jaringan strategik yang menghimpunkan tokoh korporat, pengasas syarikat, pemain industri dan usahawan dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh kerjasama serta ekosistem perniagaan tempatan.
APIUM 2026 dilihat terus relevan sebagai antara platform pengiktirafan berprestij yang meraikan kejayaan usahawan serta syarikat tempatan dalam pelbagai sektor, sekali gus memperkukuh semangat keusahawanan dan daya saing industri negara di peringkat lebih tinggi.
-NIAGATIMES




















































