SME Jumpstart Workshop: Cross Border Edition

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang memperkukuh keupayaan menembusi pasaran antarabangsa menerusi penganjuran bengkel khas yang memberi tumpuan kepada strategi eksport, e-dagang rentas sempadan dan pengurusan logistik global.

Inisiatif menerusi program SME Jumpstart: Cross Border Edition anjuran Pos Malaysia Berhad itu dijadual berlangsung pada 24 November ini di Ujana Ilmu Event Space, Menara MATRADE, Kuala Lumpur, dari 8.30 pagi hingga 5 petang.

Program berbentuk kelas pakar sehari itu akan dikendalikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JOM Export Academy Bryan Ong, dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai persediaan memasuki pasaran luar negara serta kaedah mengenal pasti peluang perniagaan berpotensi.

Antara perkara yang akan diketengahkan termasuk pemilihan produk dan pasaran sasaran, penggunaan platform perdagangan digital antarabangsa seperti Amazon, eBay dan Etsy, selain strategi menetapkan harga jualan dengan mengambil kira kos penghantaran, yuran platform serta margin keuntungan.

Peserta turut didedahkan kepada aspek operasi eksport, merangkumi pembungkusan, dokumentasi kastam, perkhidmatan penghantaran antarabangsa dan sistem penjejakan bungkusan.

Selain itu, bengkel berkenaan akan membantu peserta menyediakan pelan tindakan eksport yang lebih tersusun bagi membolehkan mereka mengenal pasti keutamaan dan langkah seterusnya dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Menurut Pos Malaysia, sebanyak 150 PKS dijemput mendaftarkan minat untuk menyertai program itu, namun hanya 50 syarikat akan dipilih bagi mengikuti latihan berkenaan secara percuma.

Program yang bernilai RM599 bagi setiap peserta itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran bengkel SME Jumpstart pertama pada Oktober lepas.

Pos Malaysia berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmennya untuk membantu PKS tempatan meningkatkan keupayaan perniagaan melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan sumber berkaitan, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan yang lebih mampan.

PKS yang berminat boleh mendaftarkan penyertaan menerusi pautan https://bit.ly/smecrossborder. Pemohon yang berjaya disenarai pendek akan dimaklumkan melalui e-mel.

-THE MALAYSIA VOICE

SME-Jumpstart-Workshop.jpeg