Akademi Dalam Industri bak ‘kilang kampus’, buka laluan baharu masa depan bakat Malaysia

OLEH: RIDHWAN NOH

Bayangkan seorang anak muda berusia 20 tahun. Selepas tamat persekolahan, dia bukan tidak mahu bekerja. Dia juga bukan tidak mempunyai cita-cita. Namun, seperti ramai anak muda lain, persoalannya mudah tetapi besar maknanya: di mana hendak bermula?

Majikan mahu pengalaman. Untuk memperoleh pengalaman, seseorang perlu bekerja. Tetapi untuk mendapat pekerjaan pula, pengalaman sering menjadi syarat.

Akhirnya, ramai memilih apa sahaja pekerjaan yang tersedia. Ada yang bekerja tidak sepadan dengan kelayakan, ada yang bertukar kerja tanpa arah, manakala sebahagian lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran atau pekerjaan berkemahiran rendah.

Di sinilah muncul satu pendekatan yang boleh mengubah persoalan “bagaimana hendak dapat kerja?” kepada “bagaimana hendak membina kerjaya?” iaitu Akademi Dalam Industri (ADI).

Ironinya, meskipun inisiatif ini semakin berkembang dan melibatkan ribuan bakat serta syarikat di seluruh negara, masih ramai dalam kalangan masyarakat belum benar-benar mengenali kewujudan ADI.

Ada yang tahu tentang TVET, ada yang pernah mendengar mengenai latihan industri, tetapi tidak ramai yang memahami bahawa terdapat satu model yang membolehkan seseorang bekerja, belajar dan memperoleh pengiktirafan kemahiran secara serentak.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Justeru, cabaran terbesar ADI hari ini bukan sekadar memperluas penyertaan, tetapi memastikan masyarakat mengetahui bahawa satu laluan alternatif sedang tersedia untuk mereka.

Daripada Academy in Factory kepada Akademi Dalam Industri

Kisah ADI bukan bermula secara tiba-tiba. Inisiatif ini bermula melalui konsep Academy in Factory (AiF) yang dicetuskan susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council pada November 2021. Ketika itu, isu kekurangan pekerja tempatan, ketidakpadanan kemahiran dan kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing menjadi antara cabaran besar negara.

Pada 2023, pendekatan itu melalui penjenamaan semula kepada Academy in Industry (AiI), sebelum penyeragaman nama kepada Akademi Dalam Industri (ADI) dilakukan pada 2024.

Pelaksanaannya merupakan hasil kerjasama lebih besar melibatkan kerajaan, industri dan akademia, dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memainkan peranan penting dalam menerajui dan menyelaras agenda pembangunan bakat berasaskan keperluan sebenar industri.

Konsepnya kelihatan mudah, ‘place and train’.

Bakat ditempatkan terus di syarikat untuk bekerja sambil menjalani latihan kemahiran secara tersusun. Apa yang dipelajari bukan sekadar teori dalam bilik kuliah, sebaliknya diterjemahkan terus melalui mesin, teknologi, sistem dan cabaran sebenar tempat kerja.

Pendekatan ini turut mengubah cara kita melihat pendidikan dan latihan.

Jika dahulu industri sering dianggap sebagai ‘pengguna’ graduan dan tenaga kerja yang dilahirkan oleh sistem pendidikan, ADI meletakkan industri sebagai rakan strategik dan pembangun bakat.

Dalam erti kata lain, kilang bukan lagi sekadar tempat menghasilkan produk. Bengkel bukan hanya tempat membaiki mesin. Syarikat bukan semata-mata tempat bekerja.

Di bawah pendekatan ini, tempat kerja boleh menjadi kampus industri.

Sebelum dan selepas ADI: Tutup jurang yang selama ini melebar

Sebelum adanya model seperti ADI, jurang antara apa yang dipelajari dengan apa yang diperlukan majikan sering menjadi isu.

Seseorang mungkin mempunyai kelayakan, tetapi belum biasa dengan teknologi yang digunakan industri. Sebaliknya, majikan pula perlu mengambil masa dan kos untuk melatih pekerja baharu.

Keadaan ini mencipta masalah ketidakpadanan kemahiran. Justeru, ADI cuba merapatkan jurang itu secara langsung.

Latihan dibentuk berdasarkan keperluan industri, manakala bakat memperoleh pengalaman dalam persekitaran pekerjaan sebenar. Mereka bukan sekadar memegang sijil selepas tamat latihan, sebaliknya membawa bersama pengalaman, disiplin kerja dan pemahaman terhadap operasi industri.

Statistik pelaksanaan program ini memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan.

Setakat Mei 2026, lebih 2,600 syarikat di seluruh negara dilaporkan menyertai ADI Pekerjaan, melibatkan kira-kira 52,000 bakat. Daripada jumlah itu, lebih 12,600 bakat berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor strategik termasuk automotif, elektrik dan elektronik, logistik, pembuatan, teknologi serta perkhidmatan moden.

Lebih penting, impak ADI bukan sekadar diukur melalui jumlah peserta.

Pada 2025, sebanyak 86.3 peratus peserta dilaporkan kekal dalam industri pekerjaan, manakala sekitar 61 peratus pekerja sedia ada menikmati peningkatan gaji selepas mengikuti program berkenaan.

Angka itu membawa satu mesej yang cukup jelas: kemahiran bukan sekadar tentang mendapatkan pekerjaan, tetapi juga membuka peluang untuk meningkatkan nilai seseorang dalam pasaran buruh.

Kisah peluang kedua

Di sebalik angka, terdapat cerita manusia yang lebih besar.

Antaranya kisah seorang peserta ADI, Muhammad Shairiel Ikmal Abdul Hadi, yang dilaporkan BERNAMA telah memasuki industri percetakan selepas menamatkan SPM tanpa pengalaman dalam bidang berkenaan. Melalui program ADI, beliau menjalani latihan sambil bekerja di Kian Joo Can Factory Berhad.

Perjalanannya bukan mudah. Mengimbangi tugas sebagai pekerja dengan latihan memerlukan disiplin dan ketahanan.

Namun, seperti yang dikongsikannya, cabaran pada peringkat awal akhirnya menjadi sesuatu yang boleh dibiasakan.

Pengalaman itu membuktikan bahawa peluang tidak semestinya datang dalam bentuk laluan yang lurus.

Ada kalanya, seseorang tidak perlu mengetahui segala-galanya pada hari pertama. Yang lebih penting ialah adanya ruang untuk belajar, dibimbing dan berkembang.

Di syarikat yang sama, ADI turut menunjukkan bagaimana industri boleh membangunkan tenaga kerja sendiri. Hampir 100 bakat telah menyertai program berkenaan sejak ia dilaksanakan di situ, dengan kadar pengekalan bakat sekitar 70 peratus.

Kisah yang sama dapat dilihat dalam sektor lain.

Di Kelantan, BERNAMA melaporkan seorang peserta ADI, Muhammad Arif Nurul Azmi berjaya meraih Diploma Profesional dalam Penyelenggaraan dan Servis Motosikal, manakala pihak majikan memaklumkan perubahan positif terhadap pekerja yang menyertai program berkenaan, termasuk peningkatan fokus, keyakinan dan keupayaan membuat keputusan.

Malah, ada peserta yang bermula sebagai pekerja am sebelum berkembang menjadi penyelia, juruteknik mahir atau tenaga pengajar dalaman.

Pepatah Melayu menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dalam konteks pembangunan bakat, potensi tidak akan berkembang jika peluang untuk mencuba dan belajar tidak diberikan.

Lebih daripada sekadar latihan

Kekuatan ADI terletak pada model saling menguntungkan.

Bagi bakat, ia menawarkan peluang pekerjaan, pendapatan, latihan berstruktur, pengalaman industri dan laluan memperoleh pensijilan kemahiran.

Bagi syarikat pula, ADI membantu membangunkan tenaga kerja berdasarkan keperluan sebenar operasi mereka.

Ini bermakna syarikat tidak lagi perlu menunggu sistem pendidikan menghasilkan tenaga kerja yang ‘siap digunakan’ sepenuhnya. Sebaliknya, mereka boleh memainkan peranan aktif dalam membentuk kemahiran tenaga kerja masa hadapan.

Pelaksanaan ADI juga merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk ADI Perantisan dan ADI Pekerjaan, selain program melibatkan lepasan sekolah, graduan, pekerja sedia ada, pencari kerja, pekerja gig dan kelompok yang memerlukan peluang kedua.

Pendekatan seperti ini turut sejajar dengan perkembangan di beberapa negara maju yang mengutamakan pembelajaran berasaskan pekerjaan dan hubungan rapat antara sistem pendidikan dengan industri.

Model seperti sistem perantisan Latihan Vokasional Dual (Dual VET) atau Duale Ausbildung di Jerman, misalnya, memperlihatkan bagaimana latihan teori dan pengalaman tempat kerja boleh bergerak seiring.

Malaysia pula sedang membentuk pendekatannya sendiri berdasarkan keperluan tempatan.

ADI bukan salinan semata-mata daripada model luar. Ia ialah usaha untuk memastikan penyelesaian pembangunan bakat negara dibina berdasarkan realiti industri Malaysia.

Masa depan bermula di tempat kerja

Persoalan paling penting kini ialah sejauh mana ADI mampu memberi impak pada masa hadapan?

Jawapannya bergantung kepada sejauh mana semua pihak melihat pembangunan bakat sebagai tanggungjawab bersama.

Malaysia sedang bergerak ke arah industri berteknologi tinggi, kecerdasan buatan, automasi, semikonduktor, tenaga dan ekonomi digital. Pelaburan boleh dibawa masuk. Teknologi boleh dibeli. Mesin boleh diimport.

Tetapi tanpa tenaga kerja yang mempunyai kemahiran, semuanya tidak akan memberikan nilai optimum.

Sebab itulah pembangunan modal insan bukan lagi isu picisan.

ADI berpotensi menjadi antara jambatan penting antara cita-cita ekonomi negara dengan manusia yang akan menggerakkan cita-cita tersebut.

Ia juga menawarkan satu perubahan pemikiran yang penting iaitu seseorang tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan di mana dia belajar, tetapi juga berdasarkan apa yang dia mampu lakukan.

Namun, untuk memastikan manfaatnya sampai kepada lebih ramai rakyat, kesedaran terhadap ADI perlu dipertingkatkan.

Masih terlalu ramai yang tidak mengetahui bahawa peluang seperti ini wujud.

Masih ada ibu bapa yang melihat laluan kemahiran sebagai pilihan kedua. Masih ada anak muda yang merasakan masa depan hanya boleh dibina melalui satu jenis pendidikan. Masih ada majikan yang belum menyedari bahawa mereka sendiri boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan bakat negara.

Sedangkan hakikatnya, masa depan pekerjaan memerlukan lebih banyak laluan, bukan lebih banyak tembok.

ADI membawa satu mesej yang cukup besar dalam satu konsep yang mudah iaitu belajar boleh berlaku di mana-mana, termasuk di tempat seseorang membina kerjayanya.

Sudah tiba masanya kita tidak lagi membiarkan inisiatif yang berpotensi mengubah kehidupan ini dikenali oleh kelompok tertentu sahaja.

Masyarakat perlu tahu. Majikan perlu tahu. Anak muda perlu tahu.

Kerana peluang yang tidak diketahui adalah peluang yang mungkin tidak pernah dimanfaatkan.

Dan dalam usaha membina Malaysia yang lebih produktif, berkemahiran dan berdaya saing, setiap peluang untuk membangunkan bakat tempatan tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Akademi Dalam Industri mungkin bermula dengan sebuah idea. Tetapi masa depannya bergantung kepada sejauh mana kita semua bersedia untuk menyebarkan, menyokong dan menjadi sebahagian daripadanya.

-NIAGATIMES