MIDA anjur Seminar Pelaburan Pantai Timur, perkukuh daya saing syarikat tempatan

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menganjurkan Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 pada 8 September ini di AC Hotel, Kuantan, sebagai usaha memperluas penyertaan syarikat tempatan dan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi serta pelaburan di rantau itu.

Seminar yang membawa tema ‘Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur’ itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat tempatan, syarikat peringkat pertengahan, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi kerajaan.

Program berkenaan memberi penekanan terhadap peluang pertumbuhan baharu di Pahang, Kelantan dan Terengganu, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran, penggunaan teknologi serta produktiviti syarikat tempatan bagi membolehkan mereka bergerak ke arah aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata Wilayah Pantai Timur mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai koridor pelaburan yang lebih kompetitif, disokong oleh kekuatan industri sedia ada dan pembangunan infrastruktur strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Peningkatan kesalinghubungan menerusi ECRL membuka peluang baharu dalam sektor pelaburan, logistik dan pembangunan ekonomi di sepanjang Koridor Pantai Timur.

“Perkembangan ini juga menyediakan ruang lebih luas kepada syarikat tempatan dan Bumiputera untuk berkembang seiring dengan kemasukan pelaburan serta pertumbuhan industri di rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, PKS dan syarikat tempatan perlu mengambil peluang daripada perkembangan tersebut dengan meningkatkan keupayaan operasi, mengadaptasi teknologi serta memperkukuh kedudukan sebagai pembekal kepada industri yang lebih besar.

Selain sesi perkongsian dan forum berkaitan peluang pelaburan, seminar itu turut menyediakan Business Clinic yang membolehkan peserta mendapatkan akses terus kepada lebih 15 agensi kerajaan.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan PLANMalaysia.

Inisiatif itu dijangka membantu syarikat dan pelabur mendapatkan panduan berkaitan isu operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan serta pelaksanaan projek.

Seminar tersebut turut dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan antara pemain industri dan agensi berkaitan, di samping membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meneroka pasaran baharu serta meningkatkan penyertaan dalam rantaian bekalan global.

Usaha itu selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI dalam memastikan manfaat daripada pembangunan dan pertumbuhan pelaburan dapat diperluaskan kepada syarikat tempatan serta masyarakat secara lebih menyeluruh.

-NIAGATIMES

Banner_Seminar_Wilayah.jpeg