Inisiatif pembekalan tenaga elektrik boleh baharu antara Vietnam, Malaysia dan Singapura (VMS) mencapai kemajuan penting apabila Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) memberikan kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities Pte Ltd bagi cadangan projek berkenaan.
Kelulusan itu membolehkan konsortium terlibat meneruskan peringkat pembangunan seterusnya, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan projek yang diperlukan.
Inisiatif VMS menyasarkan penghantaran sehingga 1.3 gigawatt (GW) tenaga elektrik boleh baharu ke Singapura menerusi koridor tenaga serantau yang menghubungkan ketiga-tiga negara.
Projek itu dicadangkan menggunakan sumber angin luar pesisir Vietnam serta kemudahan tenaga solar dan penyimpanan tenaga bateri di Malaysia, dengan penghantaran dijangka bermula pada 2035.
Menerusi cadangan tersebut, tenaga elektrik boleh baharu yang dijana di Vietnam akan disalurkan melalui Malaysia sebelum dibekalkan kepada pengguna di Malaysia dan Singapura. Malaysia turut berperanan sebagai negara transit dan penerima tenaga dalam rangkaian berkenaan.
Kelulusan bersyarat itu menyusuli pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) pada Mei 2025 antara konsortium PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) dan Sembcorp Utilities, serta konsortium MY Energy yang dianggotai Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Sejak perjanjian itu dimeterai, pihak terlibat telah melaksanakan pelbagai kerja teknikal dan komersial dengan kerjasama kerajaan, badan pengawal selia serta pihak berkepentingan di ketiga-tiga negara.
Kelulusan berkenaan disampaikan pada majlis pembukaan Singapore International Energy Week (SIEW) 2026 pada 26 Okt, dengan disaksikan Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura Dr Tan See Leng; Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Fadillah Yusof; serta Timbalan Menteri Kewangan Vietnam Cao Anh Tuan.
Inisiatif itu dijangka menyokong usaha memanfaatkan potensi tenaga boleh baharu Asia Tenggara, memperkukuh hubungan tenaga rentas sempadan dan mempercepat pembangunan Grid Kuasa ASEAN.
-NIAGATIMES




















































