EXIM Bank pacu pertumbuhan eksport dan pelaburan hijau menerusi Belanjawan 2027

Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM1 bilion di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa serta mempercepat peralihan kepada amalan perniagaan mampan.

Bank itu, yang merupakan anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Kumpulan BPMB), akan menyediakan kemudahan pembiayaan dan perlindungan kredit eksport bagi membantu perusahaan tempatan meningkatkan kapasiti, memperluas pasaran serta mengurus risiko perdagangan antarabangsa.

Sebagai agensi kredit eksport rasmi Malaysia, EXIM Bank akan menyokong agenda perdagangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), selaras dengan usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing pengeksport tempatan.

Antara inisiatif utama ialah Program Pecutan dan Pertumbuhan Tempatan bernilai RM300 juta, yang menawarkan pembiayaan mampu milik kepada pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan untuk meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keupayaan operasi.

Program itu turut bertujuan membantu syarikat tempatan menyertai rantaian nilai dan bekalan syarikat multinasional serta syarikat korporat utama, khususnya dalam sektor strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Sementara itu, Skim Lonjakan Eksport bernilai RM500 juta akan membantu usahawan dan pengeksport Malaysia mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu, termasuk destinasi bukan tradisional, selain meningkatkan keupayaan menghadapi persaingan dan peningkatan kos operasi dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Bagi mengurangkan risiko perdagangan di pasaran baharu, geran Malaysia Global Connect (MGC) GoExport Cover berjumlah RM5 juta pula akan menyediakan perlindungan terhadap risiko komersial kepada pengeksport sedia ada dan bakal pengeksport.

Dalam aspek kelestarian, Dana Kelestarian Alam 2.0 bernilai RM400 juta akan membiayai inisiatif rendah karbon bagi membantu syarikat menerapkan elemen kemampanan dalam pelaburan dan operasi masing-masing.

Langkah itu turut menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara melalui pembiayaan pembangunan yang bertanggungjawab.

Secara keseluruhan, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada mandat strategik kerajaan bernilai lebih RM7 bilion yang diberikan kepada Kumpulan BPMB di bawah Belanjawan 2027.

-NIAGATIMES

EXIM-Bank-gambar-hiasan.jpg