Made For The World Excellence Awards 2026 iktiraf 30 jenama, syarikat dan ikon cemerlang

Seramai 30 syarikat menerima pengiktirafan pada Anugerah Kecemerlangan Made For The World (MFTW) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan platform berprestij itu sebagai pemangkin kecemerlangan jenama dan pengembangan perniagaan ke pasaran lebih luas.

Majlis edisi ketujuh yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur, malam tadi, menghimpunkan pemain industri daripada pelbagai sektor bagi meraikan pencapaian syarikat serta tokoh yang menyumbang kepada pembangunan industri masing-masing.

Anugerah disampaikan oleh tetamu diraja, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan Iskandar, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Dato’ R. Rajendran dan Pengerusi CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal, berkata pengiktirafan berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan sesebuah syarikat, malah menjadi platform untuk memperkukuh identiti jenama, meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka ruang kepada peluang perniagaan baharu.

Beliau berkata, jenama yang kukuh mampu membezakan sesebuah syarikat daripada pesaing, selain membina kesetiaan pelanggan menerusi kualiti, inovasi dan kepercayaan yang dipupuk secara berterusan.

“Jenama bukan sekadar nama, logo atau slogan. Jenama ialah identiti sesebuah syarikat, gambaran kualiti yang ditawarkan dan janji yang diberikan kepada pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Menurutnya, kira-kira 200 permohonan diterima bagi edisi tahun ini, namun hanya 30 syarikat dipilih selepas melalui proses tapisan dan penilaian teliti oleh panel.

Pemilihan penerima bukan hanya berdasarkan populariti, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan jenama, kualiti produk dan perkhidmatan, prestasi perniagaan, inovasi, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan serta sumbangan kepada industri dan masyarakat.

Antara jenama yang menerima ‘Malaysia Iconic Brand Award’ ialah Secret Recipe, ST Rosyam Mart, Assunta Hospital, Coca-Cola Bottlers Malaysia dan Yayasan MR. D.I.Y.

Secret Recipe diiktiraf atas kejayaannya membina jenama kafe tempatan yang dikenali menerusi kek ikonik, inovasi sajian dan pengalaman menjamu selera sejak penubuhannya pada 1997.

ST Rosyam Mart pula menonjol dalam sektor borong dan peruncitan menerusi konsep pasar raya borong 24 jam yang menawarkan kemudahan serta harga berpatutan kepada pengguna dan perniagaan.

Dalam sektor penjagaan kesihatan, Assunta Hospital menerima pengiktirafan atas legasi perkhidmatannya sejak 1954 sebagai institusi bukan berasaskan keuntungan yang menumpukan penjagaan pesakit, kepakaran perubatan dan kesejahteraan masyarakat.

Coca-Cola Bottlers Malaysia pula diiktiraf dalam kategori minuman berikutan legasi Coca-Cola selama 90 tahun di Malaysia, selain sumbangan dalam pembuatan, amalan perniagaan bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti.

Yayasan MR. D.I.Y. melengkapkan senarai penerima utama menerusi usaha memperkasa masyarakat melalui program kebajikan, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta inisiatif alam sekitar.

Majlis itu turut mengiktiraf dua tokoh menerusi ‘Malaysia Iconic Personality Award’, iaitu legenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh, dan penggiat industri perfileman, Aziz M. Osman.

Karamjit, yang dikenali sebagai Flying Sikh, mencipta sejarah pada 2002 apabila menjadi pemandu Asia pertama menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC).

Kejayaan terbaharunya dalam Rally of Melaka pada 2026 ketika berusia 64 tahun turut mencerminkan ketekunan dan semangat juang yang berterusan.

Aziz pula menerima pengiktirafan atas sumbangannya sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip dan penerbit yang memainkan peranan penting dalam perkembangan industri perfileman Malaysia.

Selain kategori jenama ikonik, anugerah itu merangkumi bidang kecantikan, fesyen, kesihatan, kecemerlangan perkhidmatan, perniagaan wanita dan kecemerlangan jenama, sekali gus mencerminkan kepelbagaian bakat serta potensi perniagaan tempatan.

Emir berkata, syarikat Malaysia perlu terus meningkatkan produktiviti, memanfaatkan teknologi digital, memperkukuh tadbir urus dan meneroka pasaran eksport bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta persaingan yang semakin sengit.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya memanfaatkan pengiktirafan itu untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, membina kerjasama strategik dan meningkatkan keyakinan pelanggan.

“Anugerah yang diterima pada malam ini bukan garisan penamat, sebaliknya batu loncatan untuk membina kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap pengiktirafan itu terus menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih banyak jenama Malaysia yang mampu berkembang di peringkat antarabangsa serta bersaing dengan jenama terkemuka dunia