Pepper Labs perluas pembangunan AI tempatan, sasar sektor awam dan PMKS

Pepper Labs memperluas tumpuannya daripada pembangunan bakat kepada pembangunan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) tempatan bagi menyokong transformasi sektor awam dan meningkatkan produktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengarah Urusannya Thanaselan Rajendran berkata langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia membangunkan, mengurus dan menggunakan teknologi AI yang memenuhi keperluan tempatan, termasuk aspek bahasa, pengendalian data serta tadbir urus organisasi.

Beliau berkata Pepper Labs telah menyokong pembelajaran AI lebih 400,000 peserta menerusi pelbagai inisiatif, termasuk AI Ready Malaysia, AI for My Future Malaysia, Google Gemilang dan program rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Malaysia bukan sekadar memerlukan lebih ramai pengguna AI, malah perlu membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, membina dan memperluas penyelesaian yang memenuhi keperluan institusi serta ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam sektor awam, Pepper Labs mempunyai lebih 10 akaun kerajaan aktif dan lebih 30 projek bukti konsep AI yang sedang berjalan.

Penyelesaiannya merangkumi penyelidikan dasar, pengurusan soalan Parlimen, analisis dokumen, pemantauan media, pengurusan mesyuarat dan pencarian maklumat berasaskan pengetahuan organisasi.

Syarikat itu turut membangunkan Bisnes.AI, platform AI berdaulat untuk membantu PMKS mengurus operasi, kewangan, jualan dan pematuhan perniagaan.

Platform berkenaan menawarkan interaksi berbilang bahasa dengan penekanan terhadap Bahasa Melayu bagi memudahkan usahawan menggunakan teknologi itu tanpa memerlukan kemahiran teknikal atau penulisan arahan khusus.

Menurut Thanaselan, pembangunan bakat kekal sebagai teras syarikat, dengan latihan dan program perantisan dihubungkan secara langsung kepada pelaksanaan projek AI sebenar.

Menerusi program Perantisan AI bersama Khazanah yang baru selesai, peserta memperoleh pengalaman praktikal melalui projek berasaskan keperluan industri, termasuk penyelesaian yang diterima pakai oleh PMKS terlibat.

Pepper Labs akan meneruskan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, rakan teknologi dan industri bagi memperluas penggunaan AI dalam pentadbiran awam serta pembangunan ekonomi yang inklusif.

-NIAGATIMES

Pepper-Labs.jpg