Kerjasama strategik antara UOB Malaysia dan Invest Selangor Berhad berjaya memudah cara kemasukan pelaburan bernilai lebih RM3 bilion ke Selangor, sekali gus menyokong usaha negeri itu memperkukuh sektor industri dan merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan.
Pencapaian itu selaras dengan matlamat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk meningkatkan daya saing industri, menarik pelaburan berkualiti serta memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama berkenaan penting bagi memastikan aliran modal dimanfaatkan untuk memperkukuh perniagaan tempatan, membangunkan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan meningkatkan peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau berkata usaha itu turut membantu meningkatkan keupayaan perusahaan tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, khususnya untuk golongan muda.
Semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, empat syarikat turut mengemukakan Surat Hasrat bagi cadangan pelaburan dalam bidang infrastruktur digital, bioteknologi, pembuatan termaju dan tenaga baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Datuk Ng Wei Wei berkata kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada pelabur antarabangsa untuk meneroka pasaran ASEAN, selain menjana manfaat ekonomi menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan peluang rantaian bekalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Empat syarikat berkenaan ialah Galaxy DC Pte Ltd, yang memberi tumpuan kepada infrastruktur pusat data hiperskala berasaskan kecerdasan buatan (AI); Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, yang merancang membangunkan kemudahan pemprosesan jagung dan pengeluaran ramuan khusus.
Turut terlibat ialah Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, pengeluar pemangkin kawalan emisi, serta XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd, pengeluar bahan bateri termaju untuk kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari berkata kerjasama itu membantu menarik pelabur antarabangsa dengan memanfaatkan ekosistem perindustrian, kemudahan perhubungan dan kumpulan bakat yang tersedia di Selangor.
Kerjasama strategik kedua-dua pihak dimeterai pada November 2025 bagi menarik pelaburan global, memudah cara kemasukan syarikat multinasional dan membangunkan industri berorientasikan masa depan di negeri itu.
-NIAGATIMES




















































