FWD iktiraf peranan Al Isra’ Group dalam pembangunan industri takaful

FWD Malaysia Holdings Sdn Bhd (FWD) terus memperkukuh pembangunan rangkaian agensinya sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses rakyat Malaysia kepada penyelesaian perlindungan kewangan menerusi takaful.

Komitmen itu dizahirkan menerusi pengiktirafan terhadap Al Isra’ Group (AIG), kumpulan agensi di bawah FWD Takaful yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-20, selepas dua dekad menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan serta menyumbang kepada perkembangan industri takaful negara.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Malaysia Aman Chowla berkata pencapaian berkenaan mencerminkan ketekunan, visi dan dedikasi kepimpinan AIG dalam membangunkan rangkaian agensi yang mampan.

Beliau berkata model agensi kekal sebagai komponen penting dalam strategi FWD untuk mendekati pelanggan, justeru syarikat itu akan terus menyediakan sokongan, kemudahan dan peluang pembangunan bagi membantu agennya menghadapi perubahan landskap industri.

“Pencapaian ulang tahun ke-20 AIG mencerminkan visi, kecekalan dan dedikasi pemimpinnya, sekali gus menunjukkan peranan penting model agensi dalam perjalanan FWD di Malaysia,” katanya.

Chowla berkata FWD komited untuk terus melabur dalam pembangunan rangkaian agensinya dengan memperkukuh keupayaan serta menyediakan peluang pertumbuhan dalam persekitaran perniagaan yang semakin dinamik.

Sambutan itu turut menghargai sumbangan pengasas, barisan kepimpinan, rakan agensi, warga kerja dan pelanggan AIG yang memainkan peranan dalam menjayakan aspirasi FWD untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap takaful.

Menurut FWD, tumpuan seterusnya adalah memperkukuh tawaran nilai kepada rangkaian agensi, membangunkan generasi baharu pemimpin agensi serta memperluas peluang mendapatkan perlindungan takaful kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

-NIAGATIMES

FWD-Al-Isra-1.jpg