Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyambut baik peningkatan dana pembiayaannya kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta sebelum ini, bagi memperluas sokongan kepada usahawan Bumiputera dan mempercepat pertumbuhan perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata peningkatan peruntukan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan perbadanan berkenaan dalam membangunkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing dan berpotensi menembusi pasaran bernilai tinggi.
Beliau berkata PUNB akan memastikan dana berkenaan disalurkan kepada usahawan yang layak melalui pelaksanaan pembiayaan berintegriti, telus dan berlandaskan amalan tadbir urus yang baik.
Menurutnya, pembangunan usahawan Bumiputera perlu melangkaui peranan sebagai pembekal kepada industri, sebaliknya merangkumi keupayaan menjadi peneraju yang memanfaatkan inovasi, automasi dan teknologi untuk bersaing di peringkat global.
Sehubungan itu, PUNB akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan sokongan yang disediakan memberi impak lebih menyeluruh kepada perkembangan perniagaan.
Beliau berkata peningkatan dana itu turut menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), selain membuka peluang kepada usahawan meneroka sektor berpotensi tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan dan tenaga baharu.
Dalam usaha memperluas akses pembiayaan, PUNB sepanjang 2026 menyusun semula skim pembiayaannya menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT serta PROSPER IMPACT/NOVA.
PUNB turut memperkenalkan tiga produk baharu di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ, bagi memenuhi keperluan pembiayaan usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.
PUNB kekal komited menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13, dengan perincian inisiatif susulan Belanjawan 2027 akan diumumkan dari semasa ke semasa.
-NIAGATIMES




















































