Merchantrade lengkapkan liputan pembayaran gaji digital seluruh negara

Merchantrade Asia Sdn Bhd kini melengkapkan liputan nasional bagi pembayaran gaji pekerja asing secara digital selepas menerima pengiktirafan berkanun untuk beroperasi di Sarawak.

Pengiktirafan itu susulan pelaksanaan Perintah Kerja (Pengeluar Instrumen Pembayaran yang Diiktiraf) (Sarawak) 2026, yang berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2029.

Dengan perkembangan itu, Merchantrade mempunyai pengiktirafan berkaitan pembayaran gaji digital di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh usaha memperluas akses kewangan kepada pekerja asing.

Ketika ini, lebih 3,000 majikan, termasuk kira-kira 40 syarikat tersenarai awam, menggunakan portal Merchantrade Payroll untuk mengurus pembayaran gaji bulanan. Pembayaran boleh dibuat menerusi DuitNow, pindahan bank segera atau terus ke e-dompet Merchantrade Money pekerja.

Di Sarawak, penyelesaian berkenaan berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap pengagihan wang tunai, terutama di kawasan seperti Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit. Selain meningkatkan aspek keselamatan, pembayaran digital turut mengurangkan kos pengendalian serta menyediakan rekod transaksi yang lebih sistematik bagi tujuan audit dan pemantauan ESG.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran, berkata pengiktirafan itu menandakan pencapaian penting syarikat dalam menyediakan kemudahan pembayaran gaji melalui e-dompet di seluruh negara.

Beliau berkata kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak turut membantu memperkukuh keterangkuman kewangan dalam kalangan pekerja yang berdepan keterbatasan akses perbankan.

Operasi Merchantrade di Sarawak disokong Hab Operasi Serantau di Kuching yang mengendalikan pendaftaran pelanggan, pematuhan dan integrasi portal B2B, selain rangkaian ejen sah di negeri itu.

Kemudahan Merchantrade Money turut menawarkan kiriman wang rentas sempadan, pembayaran tanpa tunai dan pengeluaran ATM, selain integrasi tuntutan PERKESO serta perlindungan insurans mikro bermula RM1 sebulan.

Usaha itu selari dengan aspirasi Sarawak memperluas ekonomi tanpa tunai menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

-NIAGATIMES

IMG-2-1.png