MIDA, InvestHK perbaharui MoU perkukuh pelaburan Malaysia-Hong Kong

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Hong Kong (InvestHK) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh aliran pelaburan dua hala serta membuka peluang baharu antara Malaysia, Hong Kong, ASEAN dan China.

Pembaharuan MoU itu dimeterai pada Seminar Perniagaan dan Jamuan Rangkaian ‘Hong Kong: Your Strategic Springboard to Chinese Mainland and Malaysia’ di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.

Dokumen berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Ketua Pengarah Promosi Pelaburan InvestHK, Alpha Lau, dengan disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin serta Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Algernon Yau.

MoU yang dikemas kini itu menggantikan perjanjian asal yang ditandatangani pada 2014, selain mengambil kira perkembangan landskap ekonomi dan keutamaan baharu kedua-dua pihak.

Sikh Shamsul berkata kerjasama yang mempunyai sejarah lebih empat dekad itu penting ketika syarikat global sedang menyesuaikan strategi berikutan perubahan rantaian bekalan dan landskap perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata Hong Kong berpotensi menjadi pintu masuk pelabur dari Greater Bay Area ke ASEAN, manakala Malaysia boleh menjadi penghubung kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran China dan antarabangsa.

Menurut MIDA, hampir 1,000 projek sektor pembuatan dengan penyertaan Hong Kong diluluskan antara 1980 hingga Mac 2026, membabitkan pelaburan melebihi RM60 bilion dan berpotensi mewujudkan hampir 197,000 pekerjaan.

Pada 2025, Hong Kong muncul sebagai sumber ketiga terbesar pelaburan pembuatan diluluskan Malaysia, bernilai RM12.4 bilion.

Kerjasama diperbaharui itu turut memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor dan elektronik, pembuatan termaju, ekonomi digital, tenaga baharu serta farmaseutikal, termasuk usaha menggalakkan usaha sama dan integrasi rantaian bekalan.

-NIAGATIMES

Image-1.jpeg