Penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan syarikat Malaysia terus berkembang apabila lebih 3.4 juta syarikat kini menggunakan sekurang-kurangnya satu teknologi AI secara konsisten, menurut kajian Amazon Web Services (AWS).
Laporan Mencungkil Potensi AI Malaysia 2026 yang disediakan Strand Partners mendapati kadar penerimagunaan meningkat kepada 38 peratus tahun ini berbanding 27 peratus pada 2025, dengan hampir sejuta syarikat baharu mula menggunakan AI dalam tempoh setahun lalu.
Bagaimanapun, kajian itu menunjukkan sebahagian besar penggunaan masih pada tahap asas, apabila 67 peratus syarikat menggunakan AI bagi tugasan rutin, manakala hanya 19 peratus mempunyai strategi rasmi untuk memperluaskannya merentasi fungsi perniagaan.
Kajian itu mengenal pasti peranan penyedia teknologi, tadbir urus dan sektor awam sebagai antara pemacu penting untuk membawa penerimagunaan AI ke tahap lebih matang.
Sebanyak 57 peratus syarikat mendapatkan keupayaan AI daripada penyedia luar, perunding atau vendor perisian, manakala 69 peratus mengakui penyedia perisian serta pembangun teknologi AI tempatan mempengaruhi keputusan mereka untuk menerima guna teknologi berkenaan.
Dalam sektor perkhidmatan kewangan, kadar penerimagunaan mencapai 53 peratus, sementara sektor pembuatan mencatat 50 peratus, mengatasi purata nasional.
Sektor kewangan turut menunjukkan tahap kematangan lebih tinggi apabila 39 peratus syarikat mempunyai rangka kerja tadbir urus AI rasmi dan 42 peratus sudah mempunyai strategi untuk meningkatkan skala penggunaannya.
Sebaliknya, sektor pembuatan masih berdepan cabaran untuk bergerak daripada fasa percubaan. Sebanyak 57 peratus syarikat dalam sektor itu masih meneroka atau bereksperimen dengan AI, walaupun 80 peratus percaya teknologi berkenaan berpotensi mengubah industri mereka.
Pada peringkat nasional, hanya 30 peratus syarikat mempunyai kebertanggungjawaban yang jelas terhadap inisiatif AI, manakala 27 peratus menjalankan pemantauan atau audit secara berkala.
Sementara itu, 72 peratus syarikat berkata penggunaan AI yang lebih meluas oleh sektor awam akan meningkatkan kecenderungan mereka memperluaskan penggunaan teknologi itu.
Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali berkata, penyedia perisian berfokuskan sektor boleh membantu mempercepatkan peralihan syarikat daripada projek percubaan kepada penggunaan AI berskala besar.
Beliau berkata tadbir urus dan kepimpinan sektor awam turut penting bagi mengekalkan momentum penerimagunaan AI serta membina keyakinan terhadap penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
-NIAGATIMES




















































