Mastercard membuka Pusat Kecemerlangan Inovasi (ICoE) terbesarnya di rantau Asia Pasifik di Singapura, sebagai langkah memperkukuh pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan penyelesaian pembayaran digital.
Kemudahan seluas lebih 7,200 kaki persegi itu berperanan sebagai hab serantau yang menghimpunkan institusi kewangan, peniaga, agensi kerajaan serta rakan teknologi bagi membangunkan penyelesaian baharu untuk ekonomi pintar.
Pusat berkenaan kini menempatkan lebih 55 pakar dalam bidang AI, keselamatan siber, pengalaman pelanggan dan pembangunan prototaip pantas, dengan kepakaran itu dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan lebih 40 pasaran di Asia Pasifik.
Mastercard turut merancang mewujudkan lebih 250 jawatan khusus di Singapura menjelang akhir 2029 bagi memperluas keupayaan dalam bidang AI bertanggungjawab, perdagangan digital, keselamatan siber, data dan teknologi pembayaran.
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Dr Tan See Leng berkata, pusat itu berpotensi menjadi peneraju inovasi pembayaran di rantau ini, dengan penyelesaian teknologi dibangunkan dan diuji di Singapura sebelum diperluas ke ASEAN, India serta pasaran lain.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB), Png Cheong Boon berkata, pelaburan itu mencerminkan kerjasama jangka panjang antara Mastercard dan Singapura, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negara berkenaan.
ICoE merangkumi empat komponen utama iaitu Pusat Kecemerlangan AI, Fusion Centre yang menggabungkan kepakaran keselamatan siber dan pencegahan penipuan, Mastercard Experience Centre serta Makerspace untuk pembangunan dan pengujian prototaip.
Naib Pengerusi dan Presiden Pertumbuhan Strategik Mastercard, Jon Huntsman berkata, pelaburan terbaharu itu membuktikan keyakinan syarikat terhadap potensi Singapura sebagai hab inovasi teknologi.
Sementara itu, Presiden Mastercard Asia Pasifik, Richard Wormald berkata, pusat berkenaan akan membantu merapatkan jurang antara percubaan teknologi dengan pelaksanaan sebenar, khususnya dalam membangunkan ekonomi digital yang lebih selamat dan saling berhubung.
Mastercard kini mempunyai lebih 850 pekerja di Singapura, yang turut menempatkan ibu pejabat Asia Pasifik syarikat itu. Jumlah tenaga kerjanya dijangka melebihi 1,000 orang menjelang akhir 2029.
-NIAGATIMES




















































