TDA perkasa industri maritim, 65 peserta raih sijil kompetensi

Seramai 65 pekerja sektor maritim berjaya memperoleh pensijilan kompetensi menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dilaksanakan Technology Depository Agency Berhad (TDA), sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja tempatan dalam industri berkenaan.

Pencapaian kadar pensijilan 100 peratus itu membabitkan nelayan, pengendali bot kecil dan penyelia bot pelancongan daripada Persatuan Nelayan Kuala Muda, Persatuan Nelayan Kuala Kedah serta Persatuan Pengusaha Bot Pantai Merdeka.

Kesemua peserta menerima Sijil Mate Domestic (Open) yang disampaikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Majlis Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Mohamad Rafidi Mat Dahan berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan ICP dalam menterjemahkan perolehan strategik kerajaan kepada manfaat nyata menerusi peningkatan kemahiran dan keupayaan industri tempatan.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada peserta, malah membuka ruang kepada pembangunan tenaga kerja maritim secara lebih tersusun melalui kerjasama kerajaan, agensi pelaksana dan pihak industri.

Latihan yang dikendalikan Polaris Maritime Training Academy Sdn Bhd itu berlangsung dalam tiga sesi di Alor Setar pada Februari, April dan Jun 2026.

Dalam perkembangan sama, TDA turut mengiktiraf 10 syarikat tempatan yang terlibat dalam rantaian bekalan projek pembangunan Terminal Penumpang, Kargo dan Roll-on/Roll-off (RoRo) Kuala Kedah.

Penyertaan syarikat berkenaan merangkumi kerja penyewaan jentera, penyiasatan tanah, pembinaan cerucuk marin dan darat, pembekalan bahan binaan serta pemasangan sistem bangunan dan elektrik.

Loke berkata, pembangunan infrastruktur maritim perlu disokong tenaga kerja berkemahiran tinggi, pematuhan keselamatan dan penglibatan lebih luas syarikat tempatan bagi memastikan industri mampu memenuhi piawaian operasi.

Projek Terminal RoRo Kuala Kedah bernilai RM245.468 juta yang bermula pada April 2024 itu dijadualkan siap pada September 2027.

Apabila beroperasi kelak, terminal berkenaan dijangka mampu menampung sehingga 3,000 penumpang berbanding kira-kira 800 sebelum ini, selain membolehkan tiga kapal penumpang bersaiz besar berlabuh serentak.

Inisiatif itu mencerminkan usaha kerajaan memanfaatkan projek infrastruktur strategik bagi memperkukuh modal insan, meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dan membangunkan ekosistem industri maritim negara.

-NIAGATIMES

TDA.jpeg