FedEx Malaysia menjangkakan peningkatan aktiviti penghantaran barangan menjelang musim beli-belah hujung tahun, susulan kempen jualan dalam talian utama termasuk 11.11 dan 12.12 serta persiapan menyambut Krismas.
Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long berkata, tempoh akhir tahun secara tradisinya merupakan antara musim paling sibuk bagi syarikat itu berikutan peningkatan permintaan penghantaran dalam kalangan perniagaan dan pengguna.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan penghantaran melalui rangkaian FedEx mencatatkan peningkatan dari September hingga Oktober 2026, mencerminkan pertumbuhan aktiviti penghantaran dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, pada 2025, syarikat turut merekodkan peningkatan jumlah penghantaran berkaitan e-dagang antara September hingga November, sejajar dengan persediaan perniagaan dan pengguna menghadapi musim membeli-belah hujung tahun.
“Berdasarkan trend terdahulu, kami menjangkakan aktiviti penghantaran akan terus meningkat apabila kempen jualan utama tahun ini bermula, dengan perniagaan berusaha menjangkau pelanggan merentasi pelbagai pasaran,” katanya.
Mengulas persediaan menghadapi lonjakan permintaan, Woon berkata FedEx memulakan perancangan operasi beberapa bulan lebih awal dengan memanfaatkan rekod corak penghantaran, trend pelanggan dan analisis ramalan bagi menganggarkan keperluan kapasiti.
Persediaan itu merangkumi penambahan tenaga kerja, pelarasan jadual dan syif operasi serta memastikan kapasiti pengasingan bungkusan dan sumber pengangkutan udara serta darat mencukupi.
Katanya, pasukan yang mengendalikan proses kutipan, pengasingan, pengangkutan dan penghantaran turut bekerjasama rapat bagi memastikan pergerakan barangan berjalan lancar serta mampu menyesuaikan operasi mengikut perubahan permintaan.
Beliau berkata, penggunaan teknologi dan automasi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan penghantaran, khususnya ketika berdepan peningkatan jumlah bungkusan.
Menurutnya, FedEx menggunakan analisis data dan teknologi operasi untuk mengoptimumkan pemprosesan penghantaran, manakala petugas penghantaran memanfaatkan sistem pengoptimuman laluan bagi merancang perjalanan yang lebih cekap.
Selain itu, penggunaan kemudahan digital membantu mempercepatkan proses pelepasan kastam menerusi penyelarasan prosedur serta penambahbaikan aliran maklumat penghantaran.
Teknologi berkenaan turut membantu pelanggan menyediakan maklumat barangan yang tepat dan mengenal pasti kod tarif bersesuaian, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan ketika proses pelepasan kastam.
FedEx juga menyediakan penyelesaian digital bagi pengurusan penghantaran dan penyerahan barangan yang membolehkan perniagaan memantau pergerakan bungkusan dengan lebih mudah, selain memberikan fleksibiliti kepada penerima untuk menguruskan penghantaran masing-masing.
Woon berkata, segala persediaan itu bertujuan memastikan syarikat terus memenuhi komitmen perkhidmatan, termasuk menyediakan perkhidmatan penghantaran dengan tarikh ketibaan yang ditetapkan bagi memberikan kepastian kepada pelanggan.
Beliau berkata, FedEx komited mengekalkan kebolehpercayaan perkhidmatan menerusi perancangan awal, pengoptimuman operasi dan penyelarasan menyeluruh di seluruh rangkaiannya, termasuk ketika berdepan tempoh permintaan tertinggi.
Dengan rangkaian global yang meliputi lebih 220 negara dan wilayah, FedEx kekal komited membantu perniagaan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, memenuhi pesanan e-dagang rentas sempadan serta memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang musim beli-belah hujung tahun.
-NIAGATIMES




















































