MyCEB teroka potensi pasaran China, perluas industri acara perniagaan

Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) memperluas usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan acara perniagaan antarabangsa menerusi penyertaan sulungnya pada China International MICE Exchange (CIMX) 2026 di Beijing.

Penyertaan yang berlangsung dari 3 hingga 5 Nov di China National Convention Centre II itu bertujuan memperkukuh hubungan industri, meneroka peluang perniagaan serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

China dikenal pasti sebagai antara pasaran strategik yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan industri acara perniagaan Malaysia, khususnya menerusi penganjuran acara antarabangsa dan kerjasama dengan pemain industri negara itu.

CIMX 2026 menghimpunkan lebih 200 pempamer, 350 pembeli serta kira-kira 5,000 pengunjung perdagangan, selain menyasarkan lebih 9,000 sesi pertemuan perniagaan sepanjang tiga hari penganjurannya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Tan Mei Phing berkata penyertaan itu mencerminkan pendekatan proaktif agensi berkenaan dalam memperluas jaringan pasaran antarabangsa dan mewujudkan peluang perniagaan yang lebih besar untuk Malaysia.

Beliau berkata China menawarkan potensi besar kepada industri acara perniagaan negara, justeru platform seperti CIMX membolehkan MyCEB berinteraksi secara langsung dengan pembeli, pembuat keputusan dan penganjur acara antarabangsa.

“Fokus kami bukan sekadar mempromosikan Malaysia sebagai destinasi, tetapi turut membina kerjasama strategik yang mampu menterjemahkan prospek perniagaan kepada peluang sebenar.

“Melalui penglibatan berterusan dan kerjasama erat dengan pemain industri, kami berhasrat menarik lebih banyak acara perniagaan antarabangsa yang dapat merancakkan pertumbuhan industri serta memberikan manfaat ekonomi lebih luas kepada negara,” katanya.

MyCEB turut mengetengahkan kelebihan Malaysia merangkumi kemudahan infrastruktur moden, fasiliti konvensyen bertaraf antarabangsa, sektor hospitaliti yang mantap serta kepelbagaian pengalaman pelancongan.

Sepanjang pameran itu, pengunjung dan pemain industri berpeluang mengunjungi reruai MyCEB di B01 bagi mendapatkan maklumat mengenai penawaran Malaysia serta meneroka potensi kerjasama dalam penganjuran acara perniagaan.

Penyertaan berkenaan dijangka membantu memperluas rangkaian strategik Malaysia dan membuka ruang kepada lebih banyak peluang penganjuran acara antarabangsa pada masa hadapan.

-NIAGATIMES

MYCEB-CHINA.jpeg