Maxcis Niaga Sdn Bhd menyasarkan untuk muncul sebagai syarikat pengurusan acara korporat nombor satu di Malaysia, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan dalam industri serta meneroka pasaran serantau dan global.
Ditubuhkan pada tahun 2010 di bawah nama Maxcis Global sebelum melalui penjenamaan semula pada 2020, syarikat itu kini berkembang sebagai antara pemain utama dalam bidang pengurusan acara, khususnya bagi penganjuran berskala besar melibatkan sektor kerajaan dan korporat.
Sepanjang lebih 15 tahun beroperasi, Maxcis Niaga telah membina reputasi sebagai pakar dalam mengendalikan pelbagai acara termasuk majlis rasmi korporat, seminar, ekspo, karnival serta majlis makan malam tahunan.
Menurut syarikat itu, kepercayaan berterusan daripada kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi awam mencerminkan keupayaan serta tahap profesionalisme tinggi yang ditawarkan.
“Antara pencapaian utama syarikat adalah pengendalian program bertaraf tinggi yang melibatkan kehadiran pemimpin tertinggi negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinet,” menurut kenyataan syarikat.
Maxcis Niaga diterajui oleh Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Rawini bin Zaini, dengan visi untuk menjadi peneraju acara korporat berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa melalui pendekatan inovatif serta pelaksanaan berkualiti tinggi.
Sebagai syarikat milik penuh Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Maxcis Niaga turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Industry Excellence Award 2025 bagi kategori Corporate Event & Equipment.
Dalam usaha kekal berdaya saing, syarikat itu kini menumpukan kepada penggunaan teknologi dalam pengurusan acara termasuk penganjuran acara hibrid dan pembangunan platform digital.
Dengan sokongan tenaga kerja profesional serta pengalaman luas, Maxcis Niaga optimis untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri di Malaysia, di samping memperluas pengaruh ke peringkat serantau dan global.
– NIAGATIMES




















































