Dua syarikat China jalin kerjasama dengan Feytech bangunkan industri komponen automotif

Feytech Holdings Bhd (Feytech) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua pengeluar komponen automotif dari China bagi meneroka penubuhan usaha sama (JV) untuk mengeluarkan komponen casis kenderaan, termasuk sistem stereng dan brek di Malaysia.

Dua syarikat berkenaan ialah Zhejiang Libang Hexin Intelligent Brake System Co Ltd (Libang), yang mengkhusus dalam sistem brek automotif, dan Wuhu Sterling Steering System Co Ltd (Sterling), pengeluar komponen sistem stereng.

Kerjasama itu antara lain bertujuan menyokong pelaksanaan program penyetempatan pengeluaran kenderaan Chery di Malaysia, selain memperkukuh keupayaan industri tempatan dalam pembuatan komponen automotif.

Menerusi MoU berkenaan, ketiga-tiga pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan, mengenal pasti komponen yang berpotensi dikeluarkan secara tempatan serta meneroka pembangunan bersama komponen baharu atau khusus mengikut keperluan pasaran Malaysia.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Dato’ Connie Go berkata, Malaysia mempunyai asas industri komponen automotif tempatan yang kukuh, dengan sebahagian pengeluar berjaya berkembang menjadi pembekal kepada pengeluar peralatan asal (OEM).

Beliau berkata, perkembangan rantaian bekalan automotif global membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan menerusi kerjasama strategik dengan pengeluar dari China.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk memperkukuh keupayaan sedia ada dan memainkan peranan lebih besar dalam industri automotif antarabangsa,” katanya.

Kerjasama terbaharu itu meneruskan hubungan perniagaan Feytech dengan Chery yang bermula pada 2023, sebelum membawa kepada penubuhan usaha sama dengan Wuhu Ruitai, pengeluar tempat duduk di bawah Chery Group, bagi menghasilkan sistem tempat duduk automotif.

Perkembangan itu turut mencerminkan komitmen Chery untuk meningkatkan penggunaan komponen bersumberkan pengeluar tempatan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia menyertai rangkaian pembekal globalnya.

Majlis pemeteraian MoU itu turut dihadiri wakil kanan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), selain wakil pengurusan Chery Automobile dan Jetour Automobile Malaysia.

-NIAGATIMES

Photo-A.jpeg