Ikon industri hiburan tempatan Datuk Yusof Haslam, Datuk Syafinaz Selamat dan Dato’ Jamal Abdillah mendahului senarai pemenang anugerah ‘Made For The World Excellence Awards 2024’ anjuran media NiagaTimes yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Kesemua mereka dijulang untuk kategori ‘Most Admired Legendary Actor & Film Producer’, ‘Most Admired Legendary Singer’ dan ‘Most Admired Legendary Music Personality’ berikutan sumbangan besar di dalam industri seni tempatan selama berpuluh dekad di samping menghasilkan karya bermutu tinggi yang menjulang Malaysia di mata dunia.
Personaliti ikonik yang turut menempa nama selaku penerima anugerah ialah Kevin Zahri (jurulatih dan pempengaruh kecergasan), Dr. Soo Wincci (pelakon, penyanyi dan mantan Miss World Malaysia), Cheah Liek Hou (Juara Badminton Para Dunia), Zaidatul Husniah Zulkifli (Ratu Pecut Negara), Azlan Shah Kamaruzaman (Juara Superbike Asia) dan Mohd Redha Rozlan (Jaguh Sukan Ekstrem Negara).
Anugerah telah disampaikan oleh tetamu diraja, Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan Iskandar (adinda kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia).
Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal dalam ucaptamanya berkata, penganjuran anugerah yang telah menjangkau edisi ke-5 ini diharapkan mampu melonjakkan lagi prestasi pemain-pemain industri tempatan dalam meningkatkan pencapaian masing-masing dalam mengharumkan nama Malaysia ke peringkat global.
“Ramai di antara mereka yang telah menempa nama. Tidak kurang juga, ada pemenang pada hari ini telah menunjukkan prestasi membanggakan di mana jenama serta perniagaan masing-masing telah mendapat perhatian dari negara luar sekaligus membuka ruang dan peluang ‘business to business’ yang lebih luas,” ujarnya.
Terdapat pelbagai kategori anugerah yang telah disampaikan. Antaranya termasuklah eksport, ‘e-commerce’, pengilangan, kesihatan & kecantikan, personaliti terbilang dan lain-lain anugerah di dalam beberapa kategori berdasarkan industri masing-masing.
Lain-lain penerima anugerah ialah Dato’ Emmy Suraya binti Hussein (Presiden PENIAGAWATI), Inter Serve Sdn Bhd, Dr. Hidayatul Hanis binti Hanapi, Happy Plantations (Kota Marudu) Sdn Bhd, Poliklinik I Care, Thai Garden Village Seafood & BBQ, Icon Hygiene Sdn Bhd, NZS Medic Sdn Bhd, Eclipse International Sdn Bhd dan Matmemorex Group Sdn Bhd.
Selain itu, syarikat Myhealth Group Sdn Bhd, Dr. Hiew Boon Thong, Castiel Diamond Sdn Bhd; BeLive Ventures Sdn Bhd, Sri Budinar (M) Sdn Bhd, Dr. Sharwin Saravanan, Layersoft Solution (M) Sdn Bhd, Baju Maju Sdn Bhd, Dr. Nurzuriatul Syakilla binti Mohd Razak, Urban Acasa dan Saudagar Group Holdings Sdn Bhd antara yang turut diberikan pengiktirafan.