Program Bimbingan INSKEN dorong peningkatan RM2 juta jualan usahawan Sarawak

119 usahawan di negeri Sarawak menjana hampir RM2 Juta peningkatan hasil jualan melalui program bimbingan yang dilaksanakan oleh Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di sepanjang tahun ini. Kesemua usahawan tersebut telah mengikuti 4 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) yang terbahagi kepada beberapa industri iaitu Kafe & Restoran, Jualan Pasar Raya, Spa dan Bakeri.

Selain lonjakan hasil jualan, program utama INSKEN ini juga berjaya mencipta 93 pekerjaan baharu dan 10 usahawan telah bertukar status perniagaan mereka daripada mikro kepada kecil.

Manakala 25 peserta yang menyertai INSKEN Start-Up Coaching telah mencatat 287 peratus peningkatan skor diagnostik dalam jangka masa enam bulan mengikuti program bimbingan usahawan permulaan ini.

Berbeza daripada Program IBBC, INSKEN Start-Up Coaching tidak diukur lonjakan hasil jualan, namun peningkatan skor diagnostik dinilai sebelum dan selepas menyertai program ini melalui 12 elemen utama iaitu konsep perniagaan, produk, harga, pemasaran, jualan, pengurusan kewangan, logistik/pengedaran, operasi/pembuatan, teknologi/inovasi, pelabur, pasukan kerja dan kepimpinan.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, langkah membuka cawangan INSKEN di Sarawak tahun lalu ternyata menghasilkan impak positif apabila lebih ramai usahawan di negeri ini mengambil peluang serta inisiatif untuk mendapatkan bantuan dari segi latihan serta bimbingan.

Menurutnya, setiap RM1 dibelanjakan untuk melaksanakan program bimbingan di Bumi Kenyalang ini, memberi pulangan sebanyak RM2.90 kepada ekonomi negara yang sekaligus turut meningkatkan kemajuan pembangunan ekosistem keusahawanan di Sarawak.

Tambahnya lagi, INSKEN akan terus kekal proaktif membantu usahawan di Sarawak dan meningkatkan bantuan kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman termasuklah dengan cara berkolaborasi bersama pelbagai agensi di Sarawak.

-NIAGATIMES

kredit-foto-INSKEN.jpg