Chery sasar 70 peratus pemasangan tempatan operasi global menjelang 2027

Chery Group menyasarkan pengukuhan kedudukannya dalam industri automotif global menerusi strategi pemasangan tempatan, pembangunan teknologi kenderaan elektrik serta inovasi mobiliti masa depan.

Komitmen itu digariskan pada Chery International User Summit 2026 yang berlangsung baru-baru ini, dengan tumpuan turut diberikan kepada pembangunan kenderaan berorientasikan keluarga dan penyesuaian produk mengikut keperluan pasaran antarabangsa.

Naib Presiden Eksekutif Chery Automobile Co Ltd, Zhang Guibing berkata, kejayaan syarikat itu dibina berasaskan usaha memahami kehendak pengguna di setiap pasaran, selain menawarkan produk dan teknologi yang memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

Beliau berkata, kumpulan itu mencatat jualan 1.36 juta kenderaan pada separuh pertama 2026, sekali gus menduduki tempat kesembilan di peringkat global.

Chery juga mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport kenderaan penumpang terbesar China selama 23 tahun berturut-turut.

Dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV), kumpulan itu merekodkan pertumbuhan sebanyak 145 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Zhang berkata, strategi penyetempatan menjadi antara keutamaan syarikat dalam memperluas operasi antarabangsa, dengan kenderaan yang dipasang di negara pasaran masing-masing menyumbang 41 peratus daripada operasi luar negara pada 2025.

Peratusan itu disasarkan meningkat kepada 70 peratus menjelang 2027, disokong kerjasama dengan rakan tempatan, pemindahan kepakaran pembuatan, penggunaan tenaga hijau serta pembangunan bakat tempatan.

Selain itu, Chery merancang memperluas rangkaian penyelidikan dan pembangunan (R&D) antarabangsa kepada 26 pusat berbanding 16 ketika ini, termasuk di Malaysia, United Kingdom, Sepanyol dan Jerman.

Bagi memperkukuh pembangunan mobiliti pintar dan mampan, syarikat itu turut merancang memperkenalkan teknologi Hyper Second Charging (HSC) dan Vehicle-to-Grid (V2G) mulai 2027, termasuk di United Kingdom, Sepanyol dan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, teknologi robotik AiMOGA dijangka diperluas penggunaannya merangkumi sektor komersial, penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam pintar, bantuan domestik dan pembuatan.

-NIAGATIMES

Zhang-Guibing-Executive-Vice-President-of-Chery-Automobile-speaking-during-the-Chery-International-User-Summit-in-Wuhu-China.-1.jpg