Orang ramai berpeluang meneroka pelbagai model kenderaan elektrik (EV), menikmati sesi pandu uji serta mendapatkan tawaran pembelian istimewa menerusi Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun ini.
Penganjuran pameran mobiliti terbesar negara itu hadir pada waktu yang signifikan kepada industri automotif tempatan berikutan pelaksanaan dasar baharu kerajaan berkaitan kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.
Sehubungan itu, KLIMS 2026 dijangka menjadi platform penting bagi pengguna yang ingin mendapatkan maklumat, membandingkan pilihan serta membuat keputusan pembelian sebelum sebarang perubahan harga berlaku di pasaran.
Sepanjang acara berkenaan, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pakar industri dan syarikat peneraju teknologi EV bagi memahami aspek pemilikan kenderaan elektrik, kemudahan pengecasan serta perkembangan terkini dalam ekosistem mobiliti mampan.
Selain itu, lebih 60 buah kenderaan daripada pelbagai jenama akan disediakan untuk sesi pandu uji, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri prestasi dan teknologi yang ditawarkan oleh pengeluar automotif terkemuka.
Penganjur turut memaklumkan beberapa jenama automotif akan menawarkan promosi khas, insentif tempahan, pakej eksklusif dan pelbagai tawaran terhad sepanjang pameran berlangsung.
KLIMS 2026 juga dijangka menjadi destinasi utama bagi pembeli kali pertama serta peminat automotif yang ingin melihat sendiri perkembangan terkini teknologi mobiliti dan kenderaan elektrik di bawah satu bumbung.
Bagi memudahkan kehadiran pengunjung, pelbagai kemudahan pengangkutan disediakan termasuk perkhidmatan bas percuma dari MRT Titiwangsa dan LRT Pasar Seni, selain perkhidmatan van ulang-alik dari kawasan parkir terbuka MATRADE dan Stadium Hoki Nasional.
Perkhidmatan van turut disediakan dari lapan lokasi berhampiran termasuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Bangunan MITI, MATRADE, Publika Shopping Gallery, Hyatt House Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri Jalan Duta, Stadium Hoki Nasional dan Stadium Tenis Nasional.
Dari segi harga tiket, kemasukan adalah percuma pada hari bekerja bagi orang dewasa, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Pada hari Jumaat, hujung minggu dan cuti umum, tiket dewasa ditawarkan pada harga RM30, manakala warga emas, pelajar dan OKU dikenakan bayaran RM15.
Pengunjung yang ingin menikmati akses sepanjang tempoh pameran boleh mendapatkan Pas Akses Tanpa Had KLIMS 2026 pada harga RM80, manakala pakej berkumpulan lima orang ditawarkan pada harga RM100.
KLIMS 2026 dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan sokongan pemain industri dan persatuan berkaitan, serta menampilkan konsep mobiliti yang lebih menyeluruh merangkumi kenderaan elektrik, peralatan pengecasan, komponen automotif, penyelesaian pengangkutan dan pelbagai inovasi mobiliti masa depan.
-NIAGATIMES




















































