Thailand memperkenalkan Sistem Pengurusan Imigresen Thailand (THIM), aplikasi web dan mudah alih pertama negara itu bagi pengurusan imigresen nasional yang dibangunkan menggunakan teknologi pengkomputeran awan Amazon Web Services (AWS).
THIM dibangunkan oleh Digital Identity Co Ltd dengan kerjasama Biro Imigresen Thailand bagi memodenkan proses imigresen serta meningkatkan pengalaman pelancong antarabangsa yang memasuki negara itu.
Menerusi pelaksanaan projek perintis yang kini tersedia untuk dimuat turun, pelancong boleh melengkapkan pendaftaran ketibaan secara digital sebelum tiba di Thailand.
Sistem itu direka untuk membolehkan proses pengisian kad ketibaan diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga minit sekali gus membantu mengurangkan masa menunggu di pusat pemeriksaan imigresen.
Aplikasi tersebut kini menyokong bahasa Inggeris, Rusia, Jepun dan Cina, dengan beberapa bahasa lain dijangka ditambah dalam masa terdekat.
Timbalan Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand, Mejar Jeneral Polis Pratya Prasarnsuk berkata sistem imigresen negara itu mengendalikan kira-kira 30 juta pelancong antarabangsa setiap tahun, menjadikan usaha mempercepat dan memperkemas proses kemasukan pelawat sebagai satu keutamaan.
Beliau berkata penggunaan teknologi awan menerusi THIM berjaya mengurangkan masa pemprosesan selain memperkukuh keupayaan keselamatan negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digital Identity, Natakorn Tanachaihirun, platform itu merupakan langkah awal ke arah pembentukan pusat perkhidmatan digital yang lebih menyeluruh bagi menyokong operasi Biro Imigresen dan jutaan pelancong yang memasuki Thailand setiap tahun.
THIM menggunakan teknologi pengecaman aksara optik (OCR) berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengekstrak maklumat daripada pasport bagi menyokong proses pengesahan identiti digital.
Sistem itu turut memanfaatkan keupayaan pengkomputeran boleh skala dan teknologi keselamatan AWS bagi memastikan operasi yang lancar serta perlindungan data sensitif pelancong.
Pengurus Negara AWS Thailand, Vatsun Thirapatarapong berkata THIM membuktikan bagaimana penggunaan teknologi awan dapat membantu kerajaan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam sambil mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi.
Pada masa depan, THIM dijangka diperluaskan dengan pelbagai fungsi tambahan termasuk tempahan janji temu, permohonan lanjutan pas lawatan secara elektronik dan perkhidmatan imigresen digital lain.
-NIAGATIMES




















































