NEFX manfaat data e-Invois, mudahkan penilaian kredit PKS

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama dengan tujuh institusi kewangan bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pembangunan platform National E-Invoice Financing Exchange (NEFX) berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MDEC, agensi di bawah Kementerian Digital, dengan tujuh rakan pembiayaan berkenaan.

Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah berkata NEFX dibangunkan bagi menangani cabaran mendapatkan pembiayaan yang dihadapi PKS, selain membantu institusi kewangan menilai kelayakan kredit dan risiko pinjaman dengan lebih tepat.

Beliau berkata, platform itu memanfaatkan data transaksi digital yang sahih bagi meningkatkan ketelusan serta membolehkan institusi kewangan membuat keputusan pembiayaan berdasarkan maklumat perniagaan yang lebih menyeluruh.

“NEFX bukan bertujuan melonggarkan syarat pemberian pinjaman, sebaliknya menyediakan data yang lebih telus bagi menyokong keputusan pembiayaan lebih tepat dan membolehkan institusi kewangan mengurus risiko dengan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Azlan Sharom berkata, NEFX dirangka sebagai pasaran pembiayaan digital yang terbuka, selamat dan dilengkapi teknologi AI, dengan menggunakan data e-Invois yang disahkan menerusi rangkaian Peppol serta maklumat perniagaan lain berdasarkan persetujuan PKS.

Beliau berkata, antara keupayaan yang dirancang dalam projek rintis platform itu termasuk penilaian data, pencegahan pembiayaan berganda, pemantauan pinjaman dan pengurusan kebenaran pengguna.

Bagaimanapun, kelulusan kredit, penyaluran dana serta kutipan bayaran kekal di bawah tanggungjawab institusi pembiayaan.

Tujuh rakan pembiayaan perintis ialah CIMB Bank, CIMB Islamic Bank, AFFIN Bank, Alliance Bank, Funding Societies, CapBay dan Bettr.

Penglibatan institusi berkenaan dijangka membantu memperincikan keperluan data, proses pembiayaan dan integrasi sistem sebelum NEFX diperluas kepada lebih banyak pihak.

Inisiatif itu turut mendapat sokongan rakan ekosistem MyDigital ID dan CGC Digital serta lima Penyedia Penyelesaian Sedia Peppol (PRSP).

Selain NEFX, MDEC turut membangunkan National AI Compute Exchange (NACX) bagi memperluas akses perniagaan tempatan kepada sumber pengkomputeran AI.

Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi MDEC untuk memperkukuh daya saing PKS serta menyokong aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.

NEFX juga selari dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dalam mempercepat pendigitalan perniagaan dan memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam ekonomi digital.

-NIAGATIMES

Ganesh-WanMurdani-with-Financing-Partners-at-MoU-Exhanges-Ceremony.jpeg