40 syarikat, usahawan ungguli senarai penerima Anugerah APIUM edisi ke-9

Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 melabuhkan tirai dalam penutup acara gilang-gemilang yang menyaksikan kecemerlangan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari pelbagai latar yang diraikan kini menjadi batu loncatan untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara.

Meneruskan legasi ‘Usahawan Berinspirasi, Cetus Revolusi’ yang diangkat sebagai tema utama penganjuran, majlis tahunan edisi kesembilan tersebut dihadiri oleh Tunku Hajah Mariam Zaharah binti Almarhum Sultan selaku tetamu diraja. Turut hadir ialah tetamu khas, Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Asnor Vidya Nor Azmi.

Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal berkata, dapatan pemantauan hasil analisa yang dilaksanakan NiagaTimes mendapati bahawa usahawan dan syarikat yang telah dipilih majoritinya telah menguasai ekosistem keusahawanan baharu melibatkan e-dagang dan pemasaran secara digital yang melibatkan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau berharap agar pengiktirafan yang diberikan kepada para usahawan ini kelak berupaya mencetuskan semangat baharu untuk turut sama-sama membantu rakan niaga yang lain sekaligus dapat merealisasikan hasrat Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030.

Sejumlah 10 kategori anugerah yang diwakili 40 syarikat serta individu menerima anugerah di majlis tersebut. Antara kategori anugerah pada hari itu termasuklah ‘Company of the Year’, ‘Industry Excellence’, ‘E-Commerce’, ‘Food & Beverage’, Inovasi Teknologi, Kepimpinan Industri, Syarikat Terbaik, Wanita Dalam Perniagaan serta Usahawan Cemerlang Tahunan.

Bagi ‘Business Icon of the Year’, penerima anugerah tersebut ialah Datuk Adam Dahlan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah berkaliber dari RediPay Berhad, sebuah syarikat fintech awam. Di bawah kepimpinannya, RediPay telah memperkenalkan platform seperti Redi2Infaq, Redi2Stay dan RediCar yang bukan sahaja mengubah landskap perdagangan malah memberi impak positif kepada masyarakat. Syarikat kendaliannya telah mencatatkan nilai jualan tahunan berjumlah RM930juta pada tahun lepas.

Satu lagi penerima anugerah tertinggi, ‘Most Inspiring Entrepreneur Award’ ialah Amirul Safuan bin Mohd Ishak. Pengasas Ameer Safone Ventures dan Ameer Safone Inclusivity Academy ini antaranya memperjuangkan impak sosial di samping membentuk platform transformatif yang membekalkan kemahiran, keyakinan dan semangat keusahawanan kepada golongan Kelainan Upaya dan belia terpinggir.

Lain-lain penerima anugerah termasuk:

Icon of Education Award
Prof. Datuk Ts. Dr. Massila binti Kamalrudin

Company of the Year Award (Construction)
MyLawang Group Sdn Bhd

Company of the Year Award (Food Manufacturing & Retail)
Tokku Leko Sdn Bhd

Anugerah Syarikat Terbaik Tahunan (Penerbitan & Percetakan Buku)
Aras Mega (M) Sdn Bhd

Anugerah Tokoh Motivator Malaysia
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Business Influencer of the Year Award
Boss James

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Dato’ R. Rajendran dan Pengerusi CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

Portal NiagaTimes merupakan penerbitan PR Partners Asia Sdn Bhd yang telah ditubuhkan menjadi pilihan PMKS Malaysia. Portal ini bertujuan untuk membantu masyarakat yang mempunyai minat dalam perniagaan melalui penyediaan maklumat secara menyeluruh mengenai perniagaan.