Penyedia rangkaian 5G Generasi Baharu Malaysia, U Mobile telah mengumumkan pelantikan TM, pemboleh digital Malaysia, sebagai rakan backhaul gentian utama bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5Gnya di seluruh negara.
Perjanjian kerjasama bernilai RM 2.4bilion untuk tempoh 10 tahun telah dimeterai hari ini dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Sofitel Kuala Lumpur Damansara dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dengan kerjasama ini, TM akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur backhaul yang menyeluruh kepada U Mobile, termasuk akses talian gentian pajakan ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G U Mobile, pajakan pusat data dan TM Edge Facility untuk Titik Hubungan (Points of Interconnect – POI), serta talian pajakan trunk bagi memastikan keterhubungan antara wilayah.
Dengan jaringan gentian TM yang meliputi lebih 740,000 km di seluruh negara dan merupakan liputan backhaul gentian paling meluas di Malaysia, U Mobile dalam kedudukan untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G Generasi Baharunya di seluruh negara.
Perkongsian strategik ini membolehkan U Mobile memanfaatkan Perkhidmatan Backhaul 5G Mudah Alih TM yang menyeluruh bagi memastikan prestasi rangkaian yang tinggi dan sambungan yang stabil untuk perusahaan dan pengguna.
“U Mobile berbesar hati melantik TM sebagai rakan strategik gentian ‘backhaul’ kami. Memandangkan TM memiliki liputan yang meluas di Malaysia, pelantikan ini membolehkan U Mobile mempercepatkan lagi peluasan rangkaian 5G kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam membina infrastruktur inklusif dan bersedia untuk masa depan, yang turut menyemarakkan inovasi, mempertingkatkan keterhubungan, dan memacu kemajuan digital di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris.
Melalui kerjasama ini, U Mobile dan TM mengukuhkan komitmen mereka untuk mempercepatkan sambungan 5G Malaysia, memupuk inovasi digital, dan memperkasakan perusahaan dan komuniti di seluruh negara.
-NIAGATIMES