ShopeePay memperluas kemudahan pembiayaan motosikal SPayLater Motorcycle yang mematuhi prinsip Syariah ke seluruh negara, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kenderaan itu menerusi pelan pembayaran ansuran.
Kemudahan yang sebelum ini diperkenalkan di beberapa negeri terpilih itu membolehkan pengguna yang layak memohon pembiayaan sehingga RM20,000 dengan tempoh pembayaran balik maksimum 60 bulan.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, peluasan berkenaan bertujuan memudahkan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pekan kecil, mendapatkan pembiayaan bagi keperluan pengangkutan harian.
Beliau berkata, motosikal merupakan pengangkutan penting bagi ramai rakyat Malaysia untuk ke tempat kerja serta menjalankan urusan harian, terutama di kawasan yang mempunyai pilihan pengangkutan awam terhad.
Menurutnya, penyediaan kemudahan itu di seluruh negara dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mengurus perbelanjaan pembelian motosikal melalui bayaran secara ansuran.
Permohonan boleh dibuat menerusi tab Financial Services dalam aplikasi ShopeePay atau Shopee dengan melengkapkan pengesahan identiti serta mengemukakan dokumen bagi proses penilaian kelayakan.
Pengguna yang diluluskan boleh memilih model motosikal daripada jenama dan pengedar sah yang mengambil bahagian, sebelum mengunjungi pengedar berkenaan untuk melengkapkan urusan pembelian dan mengambil motosikal.
ShopeePay turut menjelaskan had pembiayaan SPayLater Motorcycle adalah berasingan daripada had kredit SPayLater individu pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, ShopeePay menjalin kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bagi menyediakan sebuah motosikal ambulans khas dikenali sebagai Medic Bike sempena pelaksanaan kemudahan pembiayaan itu di seluruh negara.
Motosikal yang dilengkapi bekalan perubatan dan peralatan kecemasan itu ditempatkan di sebuah pos PBSM yang berkhidmat di kawasan Seberang Perai serta laluan menuju ke Pulau Pinang.
Inisiatif berkenaan bertujuan membantu petugas kecemasan memberikan bantuan perubatan awal dengan lebih pantas, khususnya kepada penduduk di kawasan bukan bandar yang sukar diakses kenderaan kecemasan bersaiz besar.
-NIAGATIMES




















































