Perpindahan Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia ke Menara AIA Cap Square dijangka menjimatkan kos operasi agensi itu sebanyak RM17 juta setahun, sekali gus berpotensi menghasilkan penjimatan melebihi RM500 juta dalam tempoh 30 tahun.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi tadbir urus dan peningkatan kecekapan operasi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Beliau berkata, perpindahan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang kerja lebih luas, selesa dan strategik, malah membolehkan SME Corp. mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan tanpa menjejaskan mutu penyampaian perkhidmatan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini yang kita maksudkan sebagai reformasi dari segi memudah cara pelanggan, mengurangkan birokrasi serta kos yang tidak perlu dan berlebihan.
“Tempat yang lebih cantik, lebih selesa dan strategik, tetapi dengan penjimatan yang begitu besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat baharu SME Corp. Malaysia bersempena sambutan ulang tahun ke-30 agensi itu.
Dalam perkembangan lain, Sim berkata KUSKOP sedang mempergiat usaha menangani isu struktural yang sekian lama membelenggu sektor PMKS menerusi Pelan Tindakan SCALE.
Beliau berkata, antara cabaran yang diberi perhatian termasuk ketidakseragaman definisi PMKS, masalah aliran tunai serta kesukaran mendapatkan pembiayaan dan modal bagi mengembangkan perniagaan.
Katanya pelan tindakan itu dirangka bukan sekadar menyelesaikan masalah jangka pendek, sebaliknya menangani isu secara lebih menyeluruh dan sistematik bagi memperkukuh ekosistem PMKS negara.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Program Pelaburan PKS dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu OSK, Hartamodal dan Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).
Sim berkata, SME Corp. akan menyediakan peruntukan RM45 juta yang akan dipadankan oleh rakan strategik berkenaan, menjadikan jumlah dana keseluruhan sekurang-kurangnya RM90 juta.
Beliau berkata, dana itu bertujuan membantu syarikat PMKS dalam sektor berimpak tinggi mendapatkan akses pembiayaan, termasuk melalui instrumen pembiayaan dan ekuiti.
Beliau berharap lebih banyak syarikat PMKS merebut peluang berkenaan bagi memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan kapasiti perniagaan serta merancakkan pertumbuhan syarikat masing-masing.
-NIAGATIMES




















































