Epson EH-LS970B tawar pengalaman pawagam sehingga 150 inci di ruang kediaman

Epson Malaysia memperkenalkan Lifestudio Grand Plus EH-LS970B, penyelesaian hiburan rumah bersepadu yang menggabungkan unjuran 4K berskala besar, pemprosesan imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem audio Sound by Bose.

Direka untuk pengguna yang mahukan pengalaman tontonan lebih imersif tanpa memerlukan ruang pemasangan besar, projektor ultra-pendek itu mampu menghasilkan paparan antara 80 hingga 150 inci walaupun diletakkan hanya beberapa sentimeter dari dinding.

Dengan nisbah unjuran ultra-pendek 0.16, EH-LS970B boleh menghasilkan skrin 120 inci dari jarak kira-kira 17.3 sentimeter, manakala sistem laser 3LCD menawarkan kecerahan sehingga 4,000 lumen bagi warna dan putih serta nisbah kontras melebihi 5,000,000:1.

Projektor berkenaan turut menghasilkan imej 4K pada skrin dengan 8.3 juta piksel, manakala cip TV baharu berasaskan AI menganalisis kandungan secara masa nyata bagi mengoptimumkan kualiti setiap babak.

Teknologi AI Super Resolution, AI Picture Quality, Dynamic Colour Booster, Local Contrast dan De-contour Processing pula membantu memperincikan imej, warna, kontras serta peralihan tona yang lebih lancar.

Dari aspek audio, EH-LS970B dilengkapi sistem pembesar suara Sound by Bose 20W 2.1 saluran, termasuk sokongan Bluetooth Speaker Mode yang membolehkan projektor digunakan sebagai pembesar suara kendiri.

Sistem Google TV terbina dalam turut menyediakan akses kepada platform penstriman seperti Netflix, Disney+ dan YouTube, selain Google Cast serta kawalan suara.

Pengarah Urusan Epson Malaysia, Alvin Tan berkata produk itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan pengalaman hiburan berskala besar tanpa mengorbankan ruang kediaman.

EH-LS970B menggunakan sumber cahaya laser dengan jangka hayat sehingga 20,000 jam, manakala aplikasi Epson Setting Assistant membantu memudahkan proses penjajaran dan pembetulan imej.

Epson Lifestudio Grand Plus EH-LS970B kini tersedia di Malaysia.

-NIAGATIMES

LS970B_SCENE_02.jpg